Editor dan penulis Ahmad Lutfi Othman meninggal dunia pagi ini.
Allahyarham meninggal dunia ketika di hospital, di mana beliau menjalani rawatan untuk beberapa komplikasi kesihatan.
Menerusi hantaran di Facebook, isterinya, Siti Hawa Samsam berkata Lutfi meninggal dunia pada jam 2.10 pagi di Hospital UiTM Puncak Alam, beberapa jam selepas ulang tahun kelahirannya yang ke-59.
Menjadi wartawan dan editor selama lebih tiga dekad, pelbagai pihak mengucapkan takziah kepada anak kelahiran Kedah itu, dan menyifatkan tulisannya sebagai suara utama ketika era Reformasi.
Lutfi dikenali sebagai ketua editor lidah rasmi PAS, Harakah. Beliau mengetuai sidang editorial Harakah pada 1987 hingga 1992 dan pada 2006 hingga 2015.
Allahyarham kemudian menyertai Malaysia Dateline, iaitu lidah rasmi Amanah.
Selain itu, bekas tahanan ISA itu juga menulis pelbagai buku dan artikel berkenaan politik negara, dan diterbitkan di tengah keterbatasan kebebasan media yang menyaksikan salah satu daripada majalah dwibulanan yang diterbitkannya diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Perjuangan Lutfi ke arah kebebasan media turut menyaksikan penubuhan ‘Kumpulan Aktivis Media Independen’ (Kami) bersama beberapa lagi aktivis lain.
Pada 2016, Lutfi menerbitkan salah satu buku terakhirnya, bertajuk Lorong Sunyi Media Bebas. Ia merupakan himpunan 24 rencana karangannya dan 54 artikel berkenaannya oleh para penulis lain termasuk editor-editor veteran dan juga anaknya, Ahmad Luqman Hakim.