Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Iryna Vereshchuk menggesa orang awam di wilayah selatan Kherson – yang diduduki Russia – segera berpindah tatkala tentera sedang menyediakan serangan balas di sana.
“Sudah jelas akan berlaku pertempuran, akan ada tembakan artileri… oleh itu kami menggesa (orang ramai) untuk berpindah dengan segera,” katanya di televisyen nasional.
Beliau tidak dapat menyatakan waktu tepat serangan balas akan berlaku.
Ukraine kehilangan kawalan ke atas sebahagian besar wilayah Laut Hitam Kherson, termasuk ibu kota pada minggu pertama selepas pencerobohan Russia pada 24 Februari lalu.
“Saya tahu pasti bahawa tidak sepatutnya ada wanita dan kanak-kanak di sana, dan mereka tidak seharusnya menjadi perisai manusia,” katanya.
Pihak berkuasa Kherson yang ditempatkan di Russia berkata, mereka mahu mengadakan referendum untuk berpisah dengan Russia, bagaimanapun belum menetapkan tarikhnya.
Kremlin berkata, masa depan wilayah itu harus ditentukan oleh penduduknya.
Wilayah Kherson termasuk bandar Kherson, yang sebelum perang mempunyai populasi hampir 300,000.
Tidak diketahui berapa ramai penduduk kota itu yang masih berada di sana. – Agensi