Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke percaya bahawa pakatan antara parti politik dan gabungan parti berbeza diperlukan untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya selepas Langkah Sheraton, yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang pada Februari 2020, gabungan parti politik tidak lagi boleh membentuk kerajaan secara bersendirian.
Tambahnya, tiada mana-mana parti atau gabungan politik yakin mampu membentuk kerajaan sendiri selepas PRU.
“BN pun tidak yakin mereka boleh membentuk kerajaan sendiri. Jika anda tanya hari ini sama ada Umno atau BN mempunyai formula tetap untuk mendapatkan semula kekuatan mereka, saya tidak fikir begitu.
“Begitu juga kami (Pakatan Harapan). Saya rasa kami masih mencari (formula berkenaan),” kata Loke, seperti dilaporkan The Vibes hari ini.
Ahli parlimen Seremban itu berkata meskipun sistem gabungan berbagai parti adalah langkah ke hadapan, namun kerjasama seumpama itu tidak mungkin berlaku sebelum PRU memandangkan pertimbangan dan pendirian yang diambil oleh parti masing-masing.
“Saya fikir senario itu adalah selepas pilihan raya, bergantung kepada tahap kekuatan yang ada pada setiap gabungan. Tetapi sama ada ia akan berlaku atau tidak adalah berdasarkan kebijaksanaan kepimpinan setiap gabungan.
“Ini adalah sesuatu yang anda perlu bersikap adil, pragmatik dan realistik tentang bagaimana untuk meneruskan kerajaan.
“Saya tidak fikir ‘horse trading’ atau rundingan akan berlaku sebelum pilihan raya. Bergantung kepada keputusan pilihan raya, maka saya fikir parti dan gabungan perlu berfikir secara rasional mengenai langkah ke hadapan untuk negara,” katanya.
Loke berkata mana-mana kerajaan yang dibentuk selepas pilihan raya mesti bersetuju dengan dasar dan agenda yang jelas, dengan memberikan contoh memorandum persefahaman (MOU) antara PH dan kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.
Bekas menteri pengangkutan itu berkata dia masih mempertahankan MOU berkenaan pada hari ini, walaupun mereka dikritik sesetengah pihak berhubung tindakan itu.
“Kami tidak mengorbankan mana-mana prinsip kami, kami tahu apa yang kami mahu capai. Undang-undang anti-lompat, misalnya, tidak akan dapat dilaksanakan tanpa beberapa bentuk persefahaman antara kerajaan dan pembangkang.
“Saya rasa rakyat Malaysia pada umumnya perlu melihat perkara itu. Ia bukan ‘zero sum game’. Seperti yang telah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, politik Malaysia tidak boleh yang menang menang semua, dan yang kalah kalah semua.
“Mesti ada semacam kompromi dan persefahaman untuk bergerak ke hadapan,” kata Loke.