Dr Boo Cheng Hau dari DAP Johor dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh menggesa pihak berkuasa menyerahkan dokumen mengenai kes kematian dalam tahanan baru-baru ini.
Bercakap kepada Malaysiakini, Ramkarpal berkata dokumen berkenaan adalah penting untuk menentukan punca kematian Kim Shih Keat pada 28 Jun lalu.
“Kami menggesa pihak berkuasa hari ini untuk menyediakan dokumen tertangguh – terutamanya, laporan bedah siasat dan laporan ahli kimia – yang penting untuk menentukan punca kematian, yang masih tidak diketahui pada masa ini,” kata Ramkarpal kepada Malaysiakini menerusi panggilan telefon.
Beliau menambah inkues berhubung kematiam itu mungkin diadakan bergantung kepada keputusan bedah siasat.
Menurutnya lagi, pihak berkuasa mempunyai tempoh sehingga akhir minggu ini untuk menyerahkan dokumen tersebut.
“Sudah hampir sebulan. Dia meninggal dunia pada 28 Jun jadi dah masuk satu bulan.
“Ia dah agak lama dan (untuk kes) kematian dalam lokap, ia perlu dianggap sebagai perkara yang mendesak jadi kami berharap laporan itu dapat diperoleh pada akhir minggu ini,” katanya.
Pada 28 Jun lalu, Kim Shih Keat dilapor dikejarkan ke hospital beberapa jam sebelum dibebaskan dari penjara Kluang.
Dia sebelum itu menjalani hukuman penjara selama tujuh hari kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.
Kim, 36, yang sepatutnya dibebaskan pada 28 Jun, meninggal dunia pada 9.33 pagi hari yang sama di Hospital Enche’ Besar Halijah Khalsom di Kluang.
Ini kira-kira dua jam selepas dia ditemui tidak sedarkan diri dan dibawa ke hospital oleh pihak berkuasa penjara.
Shih Keat meninggalkan seorang balu dan dua anak perempuan berusia empat dan enam tahun.
Portal berita Free Malaysia Today melaporkan ahli keluarganya mendakwa Shih Keat meninggal dunia ketika dalam tahanan polis.
Keluarga berkenaan juga telah membuat laporan polis.
Menurut laporan itu, pihak keluarga telah cuba menghubungi pihak penjara sebanyak tiga kali antara 25 dan 27 Jun untuk mengetahui tarikh Shih Keat dibebaskan, namun mereka diberitahu untuk menghubungi semula keesokan harinya.
Boo sebelum ini menggesa polis menjemput Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dan Suhakam untuk menjalankan siasatan bersama dan menjalankan inkues berhubung kematian itu.