Sebanyak 118 majikan gagal Patuhi Perintah Gaji Minimum 2022 yang berkuatkuasa pada 1 Mei, maklum Menteri Sumber Manusia M Saravanan.
Kerajaan mendapati sebanyak 118 majikan gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022 yang berkuatkuasa pada 1 Mei, berdasarkan 157 aduan berkaitan yang diterima oleh Jabatan Tenaga Kerja Semenanjugn Malaysia (JTKSM), kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.
“Sehingga 30 Jun 2022 masih belum ada majikan yang didakwa kerana gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022.
“Ini kerana, gaji bulan Mei 2022 hanya mula diterima oleh pekerja pada awal bulan Jun 2022.
“Statistik majikan yang telah mematuhi dan tidak mematuhi Perintah Gaji Minima 2022 masih tidak dapat disediakan berikutan kuat kuasanya perintah tersebut pada 1 Mei 2022 dan pematuhan hanya dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan berkanun,” katanya.
Saravanan berkata demikian dalam jawapan pertanyaan lisan oleh Mujahid Yusof Rawa (PH – Parit Buntar) dan Shamsul Anuar Nasarah (BN – Lenggong) di Dewan Rakyat hari ini.
Perintah pelaksanaan gaji minimum itu meningkat dari RM1,200 sebulan ke RM1,500.
Bagaimanapun, peraturan baru ini tidak terpakai untuk majikan yang menggajikan kurang lima orang pekerja.
Sehingga 30 Jun 2022 sebanyak 20,452 majikan telah diperiksa, dengan pemeriksaan terhadap 3,049 tempat pekerjaan di seluruh negara pada Jun 2022.
“Nasihat telah diberikan kepada majikan untuk mematuhinya. Sekiranya gagal, tindakan perundangan akan diambil ke atas mereka,” katanya Saravanan.
Majikan yang gagal mematuhi perintah tersebut akan berdepan dengan saman RM10,000 bagi setiap pekerja yang digajikan.