Kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang menyifatkan pengundi yang tidak bersama perjuangan PAS dan mengundi PH pada PRU14 sebagai jahil agama sendiri adalah sangat keterlaluan, kata Pengarah Komunikasi Pemuda Umno Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri.
Johan berkata kenyataan itu menggambarkan seolah-olah hanya mereka yang menyokong PAS sahaja yang celik Islam di negara ini.
“Tindakan menyalahkan pengundi yang tidak memilih PAS pada PRU14 lalu sebagai jahil agama adalah tidak wajar dan Abdul Hadi harus memahami kedudukan umat Islam yang terpedaya dengan janji manis yang tidak realistik, bukan kerana mereka tidak mengenal Islam sepenuhnya.
“Pada PRU14, bukan saja PAS, malah BN yang terbukti berpengalaman, berjaya membangunkan negara dan menjalankan dasar sejajar Islam pun dikaramkan dengan dakyah fitnah akhir zaman ini,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Hantaran itu turut melampirkan keratan laporan kenyataan Hadi yang antara lain berkata PAS sedia untuk bersendirian sebagai kerajaan di Kedah pada PRU15 akan datang.
Katanya, kesilapan dilakukan pengundi di Kedah pada PRU14 ialah memilih orang bukan Islam dan pihak yang disifatkannya sebagai liberal menjadi wakil rakyat.
“PRU14 pilih orang bukan Islam jadi wakil rakyat, pilih orang liberal menjadi wakil rakyat. Berlaku kerajaan yang kacau bilau, kerajaan PH yang lebih teruk daripada Umno,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.
Johan juga membangkitkan apa yang menurutnya sebagai perubahan besar pada kepimpinan PAS selepas menjadi kerajaan.
“Tidak kedengaran lagi RUU355, jauh sekali hudud yang dilaungkan PAS selama ini, walaupun PAS mengemudi portfolio agama Islam,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia berkata tindakan Hadi bersuara berkenaan kuasa memerintah secara sendirian seperti tidak bersyukur dengan kuasa yang diraihnya dalam gabungan pemerintah hari ini, walaupun hanya ada 18 kerusi Parlimen.
Katanya lagi, menyifatkan PH “lebih teruk” berbanding Umno juga boleh dilihat bukan saja penghinaan kepada Umno, tetapi Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
“Sedangkan hakikatnya, perdana menteri Umno yang melantik semua ahli parlimen PAS sebagai menteri, termasuk melantik duta khas ke Timur Tengah tanpa perlu berada di negara Arab dan bergaji penuh,” katanya lagi.