Puteri Umno berkata PRU ke-15 sudah boleh diadakan pada bila-bila masa memandangkan perjanjian yang terkandung dalam memorandum persefahaman (MOU) di antara Putrajaya dengan Pakatan Harapan berakhir hari ini.
Ketuanya Zahida Zarik Khan berkata kerajaan tidak perlu lagi mengikut rentak pembangkang dan BN berada dalam momentum terbaik bagi menghadapi PRU tersebut.
“Hari ini adalah tarikh terakhir MOU, tidak ada pilihan raya sebelum 31 Julai. Ertinya pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa.
“Kami mahu pilihan raya diadakan segera. Kita sudah menang besar di Melaka, kita sudah menang besar di Johor, jangan sampai momentum kemenangan ini hilang.
“Segeralah diadakan pilihan raya. BN ready, Puteri ready. War cry (seruan perang) kami Puteri ready,” katanya.
Justeru kata Zahida pemimpin Umno diingatkan agar jangan sesekali melayan kehendak pembangkang dan juga Bersatu yang didakwanya mahu melengah-lengahkan PRU sehingga ke hujung penggal.
Zahida berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Puteri BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Takut jika bubar awal
Mengulas lanjut Zahida berkata, BN perlu bertindak pantas dan tidak menunggu sehingga parti lawan berjaya bergabung untuk mengadakan PRU ke-15.
“Kenapa kita perlu tunggu mereka bergabung, baru kita nak serang, jangan kita berikan mereka vitamin untuk mereka lebih kuat.
“Bodohlah kita (kalau) tidak menyerang ketika musuh kita lemah,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed berkata dengan berakhirnya MOU hari ini, maka kerajaan yang ada kini bebas daripada manipulasi pembangkang.
Meskipun MOU diadakan bagi mengadakan gencatan politik di antara kerajaan dan pembangkang, katanya, namun Pakatan Harapan (PH) galak menghentam kepimpinan Ismail Sabri Yaakob.
“Bagi saya, dengan berakhir MOU berkenaan bermakna kerajaan sudah bebas daripada belenggu pembangkang yang cukup bijak memanipulasinya untuk kepentingan politik mereka.
“Mana taknya, sepanjang tempoh MoU itu yang kononnya untuk ‘gencatan politik’, tapi pembangkang lebih galak menghentam kerajaan di bawah kepimpinan perdana menteri Ismail Sabri,” katanya hari ini.
Nur Jazlan berkata dia melihat pembangkang terutamanya parti-parti dalam PH sengaja memainkan pelbagai isu untuk memburukkan kerajaan..
“PH juga mahu menggunakan MOU itu untuk mereka terus memanjangkan hayat politik.
“Mereka mahu terus pegang jawatan sebagai ahli Parlimen dan cukup takut kalau Ismail Sabri bubarkan parlimen lebih awal,” katanya lagi.