MIC tidak risau dengan kenyataan Ahli Parlimen Padang Rengas Mohamed Nazri Abdul Aziz yang menyifatkan MIC sebagai pengemis yang menang dalam pilihan raya atas ihsan Umno.
Presidennya, SA Vigneswaran berkata lebih baik menjadi pengemis daripada pelacur politik.
“Pengemis masih lebih baik dari pelacur politik. Kita semua tahu ‘chief’ Nazri sudah tidak wujud lagi. Nazri yang ada sekarang hanya Nazri yang mementingkan diri sendiri yang tidak mempedulikan Umno dan BN.
“Dia dikenali sebagai seorang yang akan menentang apa sahaja sekiranya apa yang diminta olehnya tidak boleh diberikan.
“Dia sentiasa menyokong ‘kuda’ yang menang dan tidak mempedulikan kerosakan di sepanjang jalan. Saya tidak kisah dengan kenyataan beliau,” katanya kepada Malaysiakini.
Dia berkata demikian ketika mengulas laporan bahawa Nazri menempelak sikap parti komponen BN, MIC yang mahu kerusi selamat untuk ditandingi dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Dalam laporan Astro Awani, Nazri dipetik sebagai berkata bahawa MIC kena sedar diri bahawa pengundi India lebih percaya kepada pemimpin kaum itu dalam DAP dan PKR berbanding parti mereka.
“Kena ukur baju di badan sendiri, jangan perasan kuat tetapi hakikatnya masih tidak diterima oleh kaum sendiri
“Jangan cuma mahu kerusi selamat tetapi tidak buat kerja dan harapkan jentera Umno semata-mata untuk menang,” katanya.
Nazri menambah bahawa MIC sepatutnya kena sedar bahawa pengemis tidak boleh memilih.
Malaysiakini difahamkan, kenyataan Nazri merupakan reaksi kepada kenyataan Vigneswaran sebelum ini yang berkata bahawa MIC bercadang bertanding 12 kerusi parlimen.
Tak bawa semangat BN
Mengulas lanjut, Vigenswaran berkata dia tidak setuju dengan pandangan Nazri yang menyatakan bahawa MIC tidak lagi mempunyai sokongan kaum India.
“Ini jelas sekali dapat dilihat dari PRN Melaka dan Johor bahawa pulangan undi kaum India ialah 25 peratus hingga 30 peratus peningkatan undi kaum India kepada BN.
“Saya tidak fikir dia bercakap mengikut spirit of BN (semangat BN). Mungkin dia bercakap selepas mengambil ‘spirit’ lain.
“Mengulas Nazri membuang masa. Dia bukan apa pun dalam Umno,” katanya.
Katanya, Nazri juga tidak faham bahawa keputusan parti Gerakan keluar dari BN menjadikan masih banyak kerusi parlimen untuk ditandingi.
“Kenyataan Nazri bukan pandangan pucuk pimpinan Umno atau BN. Saya tidak peduli dengan dia.
“Adalah sangat jelas bahawa keputusan saya untuk mencadangkan beliau dipecat sebagai setiausaha agung BN adalah tepat.
“Sekarang dia mahu membalas dendam dengan mengkritik parti. Pertama sekali, dia perlu melihat cermin untuk menilai diri sendiri sebelum kritik MIC,” katanya.