PAS sedia berdepan dengan segala kemungkinan dalam pilihan raya umum (PRU) ke 15 akan datang termasuk bergerak solo, kata Tuan Ibrahim Tuan Man.
Timbalan presiden PAS itu berkata ketetapan terbabit dibuat selepas Umno-BN bertegas untuk kekal dengan keputusan tidak lagi mahu meneruskan kerjasama dengan PAS dan bergerak secara solo bagi menghadapi PRU ke 15 nanti.
“Saya lihat BN banyak buat keputusan untuk bergerak solo, jadi kalau BN buat keputusan begitu, kita sedia hadapi dalam semua kemungkinan.
“Kalau muafakat, kita boleh pakat, kalau mahu lawan pun kita boleh lawan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Malah, Tuan Ibrahim berkata, PAS juga sedia bertembung dengan semua parti lawan lain dalam PRU15 akan datang.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata parti itu akan tetap memperkukuhkan Perikatan Nasional (PN) dalam persiapan menghadapi PRU15.
“Ya (sedia bertembung) tetapi sebagaimana kita tahu keputusan parti ini akan dibawa ke majlis pimpinan masing-masing. Bagi parti kita, kita bergerak atas PN sebab Pas sebahagian daripada PN.
“Apapun paling penting rakyat dapat manfaat daripada kerajaan yang stabil dan adil, itu fokus kepada rakyat. Kita tidak mahu kerajaan yang tidak stabil sebab ekonomi negara masih belum pulih sepenuhnya,” katanya.
Tuan Ibrahim berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada PAS akan bergerak secara solo pada PRU akan datang atau sebaliknya.
Sementara itu, mengulas sama ada PAS akan meletakkan calon di Sabah, Tuan Ibrahim berkata, parti itu telah mengemukakan beberapa kerusi yang dicadangkan untuk ditandinginya.
“Sebagai timbalan presiden, saya belum menerima lagi calon yang dikemukakan di Sabah, namun saya ada dengar mengenainya. Biasalah parti-parti politik mengemukakan calon untuk cadangan di peringkat negeri.
“Namun bagi pihak parti, kita akan tunggu secara rasmi dan lihat bagaimana kesediaan Pas negeri untuk bertanding.
“Dalam PRU kali ini, ada beberapa kerusi kita cadangkan untuk dipertandingkan Pas. Pas sudah lama di Sabah dan kita dapati sokongan semakin hari semakin baik,” ujarnya.
Bagaimanapun, Tuan Ibrahim sekali lagi menegaskan PAS sedia berbincang dengan mana-mana parti yang mahu bekerjasama dengan parti itu.