Presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Zuraida Kamaruddin berkata parti itu merancang untuk meletakkan calon di 14 kerusi pada pilihan raya umum (PRU) ke-15 akan datang.
Jelas Zuraida, tujuh daripada kerusi itu adalah kawasan parlimen manakala selebihnya adalah kerusi DUN.
Pada masa sama, Zuraida berkata parti itu, yang sealiran dengan BN, tidak akan meminta kerusi lebih daripada yang sedia ada kerana mereka mahu memberi tumpuan kepada kerusi yang disandang ketika ini.
“Kita adalah pemimpin yang berpengalaman tetapi parti masih baru dan sekarang kita mempunyai masa yang singkat sebelum menghadapi pilihan raya jadi kita hanya menumpukan kepada kerusi yang sudah ada.
“Jadi tujuh kerusi DUN dan tujuh kerusi parlimen,” kata Zuraida, seperti dilaporkan Malay Mail hari ini.
PBM kini mempunyai tiga ahli parlimen di Dewan Rakyat dan lima wakil rakyat di DUN.
Tiga penyandang parlimen PBM ialah Zuraida (Ampang), Larry Sn’g (Julau) dan Steven Choong (Tebrau).
Zuraida memegang kerusi Ampang untuk PKR sejak 2008 sebelum menyertai Bersatu pada 2020. Dia kemudian meninggalkan parti itu dan menyertai PBM pada Mei tahun ini.
Choong pula menewaskan MCA di Tebrau pada 2018 dan memegang kerusi itu untuk PKR sehingga Februari tahun lalu sebelum meletak jawatan dan menjadi ahli parlimen Bebas. Dia kemudian menyertai PBM.
Sn’g memenangi kerusi Julau pada 2018 sebagai calon bebas sebelum kemudian menyertai PKR. Dia kemudian meninggalkan PKR untuk menjadi ahli parlimen bebas semula sebelum menyertai PBM.
Sementara itu, lima Adun PBM terdiri daripada tiga di Perak iaitu A Sivasubramaniam (Buntong), Paul Yong (Tronoh) dan Leong Cheok Keng (Malim Nawar), dan dua di Selangor, iaitu Haniza Mohamed Talha (Lembah Jaya) dan Daroyah Alwi (Sementa).
Haniza dan Daroyah memenangi kerusi mereka atas tiket PKR manakala Sivasubramaniam, Leong dan Yong menang atas tiket DAP pada pilihan raya lepas.
Zuraida tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai baki enam kerusi yang akan ditandingi PBM pada PRU15.
PBM sebelum ini pernah memohon menyertai gabungan BN tetapi BN berkata permohonan berkenaan masih dalam semakan.