Lebih sejuta orang telah kehilangan tempat tinggal di Myanmar sejak rampasan kuasa tentera tahun lalu, kata Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).
Negara Asia Tenggara itu bergolak sejak tentera menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi tahun lalu, sehingga mencetuskan penentangan bersenjata secara meluas.
Kumpulan hak asasi manusia menyifatkan junta bertindak balas secara keras dengan memusnahkan kampung, pembunuhan besar-besaran di luar kuasa undang-undang dan serangan udara ke atas orang awam.
Sejak rampasan kuasa dan setakat bulan lalu, 1,017,000 orang telah kehilangan tempat tinggal, kata UNICEF dalam satu kenyataan.
Katanya, lebih separuh daripada mereka yang terpaksa melarikan diri adalah di wilayah Sagaing – yang menyaksikan beberapa pertempuran paling sengit.
Keadaan itu, menurut UNICEF menyukarkan untuk bantuan kemanusiaan diberikan ke rantau berkenaan.
Sagaing menjadi pusat pertempuran tentera junta, militan pro-tentera dan pejuang anti-rampasan kuasa, di mana pihak berkuasa kerap menyekat akses internet.
Lebih 12,000 harta benda awam dianggap telah dibakar atau dimusnahkan di seluruh Myanmar sejak rampasan kuasa itu, kata agensi kemanusiaan PBB (UNOCHA) pada Mei.
Bulan lalu, sekurang-kurangnya 11 murid sekolah maut dalam serangan udara dan tembakan ke arah sebuah kampung di Sagaing, berikutan junta mendakwa sasaran pemberontak bersembunyi di kawasan itu.
PBB menyifatkan usaha diplomatik untuk menamatkan krisis di negara itu hampir mati.- Agensi