Gerakan tidak akan bertanding di Kedah, Kelantan dan Terengganu jika Perikatan Nasional (PN) membenarkan PAS menggunakan logo sendiri di tiga negeri itu.
Timbalan presiden Gerakan Oh Tong Keong berkata calon mereka bersedia menggunakan logo PN, bukan logo rakan gabungan.
Oh berkata, prinsip parti itu adalah untuk tidak menggunakan logo PAS dalam pilihan raya.
Katanya, Gerakan tidak akan menjadi seperti DAP yang yang menurutnya menggunakan logo sekutunya, PKR pada PRU lalu hanya untuk menang pilihan raya.
Atas dasar itu, katanya lagi, parti itu hanya akan menggunakan logo PN, seperti mana ia menggunakan logo BN ketika dalam gabungan itu dan bukannya logo milik parti komponen lain seperti Umno dan MCA.
“Gerakan mengulangi pendirian bahawa calon-calon di DUN dan Parlimen akan menggunakan logo PN, bukan logo sekutu (PAS).
“Jika ini adalah keputusan muktamad yang dibuat oleh PN (menggunakan logo PAS), kita lebih sanggup menarik diri daripada pilihan raya dan tiada ruang untuk rundingan (dalam hal ini), ” kata Oh dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Oh berkata Gerakan akan mematuhi keputusan PN jika permintaan mereka untuk menggunakan logo sendiri di Pulau Pinang ditolak.
“Bagaimanapun, kami masih berharap majlis presiden PN untuk menimbang kehendak akar umbi parti agar kami dapat menggunakan parti di Pulau Pinang.
“Kami bagaimanapun tidak akan meminta sekutu kami untuk mengguna pakai logo Gerakan di Pulau Pinang, mereka boleh menggunakan logo PN atau logo milik sendiri,” katanya yang juga ketua Gerakan Pulau Pinang.
Pada 18 Sept lepas, Oh mencadangkan agar Gerakan Pulau Pinang dibenarkan menggunakan logo sendiri pada PRU15 kerana masih ramai yang beranggapan parti itu sebahagian daripada BN.
Pada PRU 2018, Gerakan bertanding di 22 kerusi Parlimen dan 33 kerusi DUN di bawah tiket BN. Parti itu kalah di semua kerusi.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan berkata Majlis Tertinggi PN akan mengadakan mesyuarat untuk memuktamadkan logo yang akan digunakan gabungan itu dalam PRU15.