Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti dakwaan kononnya ada ejen perisikan dari Israel yang memasuki negara ini dan menculik warga Palestin di Kuala Lumpur, kata menterinya, Hamzah Zainudin.
“Perkara (dakwaan) seperti ini harus kita teliti, kemudian barulah kita umumkan (tindakan lanjut,” katanya yang dipetik akhbar Berita Harian Online.
Menurutnya, jika ada rakyat asing yang memasuki Malaysia tanpa dokumen sah, tindakan akan diambil.
“Sesiapa sahaja yang masuk dalam negara kita, perlu ada dokumen sah.
“Bila kita ada maklumat mengatakan ada orang masuk guna dokumen tidak sah, kita akan pantau.
“Kalau kita rasa sudah sampai masa kita tangkap mereka, kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya lagi.
Sementara itu, Unit Komunikasi Korporat, Bukit Aman berkata, kes melibatkan operasi Israel memburu aset Hamas, kumpulan bersenjata Palestin, di bumi Malaysia telah dibawa ke mahkamah.
“Tiada maklum balas buat masa ini memandangkan kes telah dituduh di mahkamah.
“Jika ada, kami akan kongsikan,” kata Unit Komunikasi Korporat, Bukit Aman ketika diminta mengulas laporan NST hari ini.
Awal pagi tadi, akhbar itu melaporkan melaporkan, ejen Mossad – agensi perisikan Israel – menjalan operasi di Malaysia, dalam perang terhadap Hamas yang dilabel Zionis sebagai pengganas.
Menurut akhbar itu, mereka dipercayai merekrut penduduk tempatan untuk membantu rejim Yahudi itu untuk anggota Hamas.
Operasi dikatakan berlaku pada jam 10 malam, 28 September lalu, apabila dua pakar pengaturcaraan komputer Palestin memasuki kenderaan berhampiran Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur selepas makan malam di sebuah pusat beli-belah.
Ejen Mossad sebelum itu dilapor menggunakan rakyat Malaysia untuk mengesan dan menculik rakyat Palestin yang dikatakan mempunyai hubungan dengan Hamas dan sayap bersenjatanya, Briged Izz ad-Din al-Qassam.
Memetik sumber “yang mengetahui kes itu”, NST melaporkan “Israel ingin tahu tentang pengalaman lelaki itu dalam pembangunan aplikasi komputer, kekuatan Hamas dalam membangunkan perisian, informasi mengenai anggota Briged al-Qassam dan kekuatan mereka.”
Soal siasat itu dijalankan selama kira-kira sehari sebelum pihak berkuasa Malaysia menyerbu tempat kurungan dan menahan mereka yang didakwa bertanggungjawab menculik mangsa.
Difahamkan ketika polis menyelamatkan lelaki Palestin tersebut, dia mengalami pelbagai kecederaan.
Ini bukan kali pertama kejadian seumpama itu terjadi.
Pada 2018, jurutera elektrik kelahiran Gaza, Fadi Mohammed al-Batsh ditembak mati oleh dua penunggang motosikal ketika menuju ke masjid untuk menunaikan solat subuh di Kuala Lumpur.
Kejadian itu juga dipercayai dijalankan oleh agensi perisikan Israel.