Ribuan pelajar wanita di Afghanistan dibenarkan menduduki peperiksaan kemasukan ke universiti awam negara itu, minggu lalu.
Namun kerajaan Taliban mengharamkan beberapa jurusan termasuk bidang kewartawanan, kejuruteraan, ekonomi dan beberapa bidang berkaitan sains sosial dan sains semulajadi.
Tindakan berkenaan sekali gus menghadkan prospek kerjaya kepada wanita di negara tersebut.
Sekatan terbaharu ke atas pendidikan wanita di Afghanistan berlaku sejak Taliban mengambil alih pentadbiran negara itu Ogos 2021.
Malah Taliban juga melarang pelajar perempuan yang berada di gred enam ke atas meneruskan sesi persekolahan.
Di universiti awam pula pengasingan jantina dilakukan secara ketat.
Sementara itu, seorang pelajar dari wilayah Parwan di utara negara itu mengakui sudah lama mengimpikan untuk menjadi wartawan terpaksa dipendam selepas kerajaan mengharamkan kursus berkenaan kepada pelajar wanita.
Fatima, remaja berusia 20 tahun berkata, selepas dimaklumkan tidak dibenarkan mengambil kursus kewartawanan dia terus meninggalkan dewan peperiksaan.
“Saya terlalu kecewa kerana sudah lama mengidam untuk menjadi wartawan namun impian itu tidak dapat direalisasikan kerana pentadbiran negara yang tidal adil,” ujarnya kepada Radia Radio Azadi. – Agensi