Seorang anggota kanan Lions Den terbunuh dalam satu letupan di Tebing Barat yang diduduki pada Ahad.
Tamer Kilani terbunuh di Kota Lama Nablus apabila bom yang diletakkan di atas motosikal yang diparkir berhampiran diletupkan.
Kumpulan pejuang itu berkata, Israel membunuh Kilani, salah seorang ‘pejuang paling tegas’, dengan ‘peranti TNT’ dan berikrar untuk memberi Israel ‘tindak balas yang keras dan menyakitkan’.
Kumpulan Lions Den dikesan aktif di Kota Lama Nablus dalam beberapa bulan kebelakangan ini, di mana pertempuran antara pejuang Palestin dan pasukan tentera Israel berlaku hampir setiap hari.
Tentera Israel tidak mengulas mengenai penglibatannya dalam pembunuhan itu, bagaimanapun seorang jurucakap tentera mendakwa Kilani terbabit dalam serangan yang menyasarkan warga Israel.
Media Palestin melaporkan, Kilani telah menghabiskan lapan tahun di penjara Israel atas tuduhan menjadi anggota sayap tentera Barisan Popular untuk Pembebasan Palestin.
Beberapa kumpulan Palestin memberi penghormatan kepada Kilani, dengan pergerakan Fatah menyifatkan pembunuhannya sebagai ‘pembunuhan pengecut’.
Hari berkabung telah diisytiharkan di Nablus.
Puluhan pejuang dan orang awam Palestin terkorban tahun ini susulan peningkatan serbuan tentera Israel, yang kebanyakannya menyasarkan utara Tebing Barat. – Agensi