Menteri Luar Saifuddin Abdullah enggan mengulas lanjut mengenai kenyataan P Waytha Moorthy yang menuduhnya berbohong dalam isu berkaitan usaha meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Dia sebaliknya hanya berkata, bekas menteri perpaduan ketika era pemerintahan Pakatan Harapan (PH) itu kini dilihat ‘baik’ dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
“Saya tengok dia dah baik dengan Zahid Hamidi, jadi itulah jawapan saya,” katanya ringkas ketika sidang media di Kuantan, Pahang, petang ini.
Saifuddin sebelum itu ditanya mengenai kenyataan Waytha pada 28 Oktober lalu menuduhnya bercakap ‘bohong secara terang-terangan’ sambil menambah bahawa bukan tugas dia untuk merundingkan ratifikasi ICERD dengan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Waytha membuat kenyataan terbabit sehari selepas Saifuddin dilaporkan berkata Waytha adalah menteri mengendalikan cubaan Malaysia yang gagal untuk meratifikasi ICERD.
Menteri luar itu berkata, apa yang dia ingat, tidak ada kertas Kabinet dibentangkan untuk ratifikasi ICERD selain tidak faham mengapa dia diserang berhubung isu berkenaan.
Saifuddin juga mendakwa, satu-satunya perjanjian antarabangsa yang dia terlibat ialah Perlindungan Semua Orang Daripada Kehilangan Yang Dipaksa (ICPPED) dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Menentang Penyeksaan.
Waytha yang juga presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) pada Khamis menyatakan sokongannya kepada BN menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) bulan depan.
Dia menjelaskan sokongan terhadap BN dibuat selepas permintaannya untuk bekerjasama dengan PH tidak diendahkan.