Taliban terus mengamalkan undang-undang syariah Islam dengan lebih tegas sejak mengambil alih pentadbiran negara lebih setahun lalu.
Pada sekitar tahun 1990-an, Taliban mengamalkan hukuman mati, sebatan dan rejam terhadap pesalah yang disabitkan kesalahan di mahkamah Taliban.
Bagaimanapun selepas kembali berkuasa semula pada Ogos 2021, Taliban pada awalnya berjanji untuk menjadi lebih sederhana dalam mengamalkan hukum syariah, selain memberi kelonggaran terhadap hak wanita dan golongan minoriti.
Sebaliknya selepas berkuasa, Taliban didakwa kembali mengamalkan polisi yang terdahulu.
Dilaporkan, wanita dilarang mengunjungi taman, pusat gimnasium dan diarah untuk menutup keseluruhan kepala apabila di tempat awam.
Begitu juga kanak-kanak perempuan mereka tidak dibenarkan bersekolah selepas gred enam.
Jurucakap Taliban Zabihullah Mujahid berkata, pemimpin tertinggi Taliban, Hibatullah Akhunzada telah mengadakan perjumpaan dengan beberapa hakim di negara tersebut beberapa hari lalu dan mengarahkan mereka melaksanakan undang-undang syariah dalam setiap keputusan mahkamah.
Terbaharu, seorang lelaki dan wanita dari wilayah Bamiyan ditahan dan dikenakan hukuman sebat di khalayak umum dengan masing-masing menerima 39 sebatan kerana kesalahan bersekedudukan.
Seorang penduduk setempat yang enggan mendedahkan nama berkata dia mengunjungi stadium untuk melihat hukuman dijalankan.
Sejak 15 bulan lalu, video dan gambar tentera Taliban menghukum orang ramai dengan pelbagai kesalahan sering muncul di media sosial. – Agensi