Iran memutuskan untuk menangguh pembelian teh dan beras basmati dengan India, selepas negara itu tidak memperbaharui perjanjian untuk mengimport kedua-dua produk berkenaan minggu lalu.
Walaupun tiada penjelasan daripada Iran berhubung alasan pemberhentian secara tiba-tiba itu, pengeksport India percaya ia berikutan sebahagian besar kedai, hotel dan pasar di negara terbabit masih ditutup ekoran protes anti-hijab yang terus memuncak.
Sebahagian pengimport yakin Iran kemungkinan akan menangguhkan pembelian dengan New Delhi dan Tehran kerana sedang melaksanakan perjanjian penyelesaian rupee.
Perkembangan berkenaan dijangka akan memberi kesan kepada eksport komoditi terutama pembelian teh kerana Iran mengimport sekitar 30 hingga 35 juta kilogram teh dan kira-kira 1.5 juta kg beras basmati dari India dalam tempoh setahun.
Sementara itu, Pengurus Bhansali Company, Anish Bhansali berkata, pihaknya terkejut dengan tindakan Iran yang secara tiba-tiba menghentikan perjanjian pembelian berkenaan.
“Tiada penjelasan daripada Iran dengan keputusan berkenaan yang dibuat secara tiba-tiba walaupun pihak kami mahu penjelasan.
“Perkara ini telah dimaklumkan kepada Lembaga Teh India dan sedang mendapatkan penjelasan,” katanya.
Dalam pada itu, pengeksport beras basmati juga turut menghadapi masalah sama dan kesannya akan berkurangan berikutan eksport telah meningkat selepas permintaan tiniggi dan kenaikan harga komoditi di seluruh dunia sejak perang Russia-Ukraine. – Agensi