PUTRAJAYA: Pengguna perlu berperanan untuk menjadikan penawaran dan permintaan terhadap barangan lebih anjal, termasuk dengan tidak membeli produk yang dijual pada harga lebih mahal berbanding sebelum ini.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata seandainya pengguna tidak membeli atau menggunakan produk yang menawarkan harga yang tidak berpatutan, ia akan memberi gambaran kepada peniaga dan pembekal untuk tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan.
Beliau berkata, ketika ini biarpun harga barangan terus meningkat pengguna dilihat masih bersedia membayar pada harga yang ditawarkan oleh pembekal.
Katanya, satu kategori perbelanjaan yang paling mempengaruhi inflasi adalah harga barangan makanan dan minuman bukan alkohol iaitu kumpulan perbelanjaan yang paling besar bagi isi rumah.
“Walaupun harga barang makanan dan minuman bukan alkohol terus naik,
orang ramai terus membeli dan membayar pada harga yang lebih tinggi yang dikenakan oleh peniaga.
“Ini sedikit sebanyak menyumbang kepada kenaikan harga barang makanan dan minuman bukan alkohol yang terus naik dan dirasakan tidak turun.
“Bercakap mengenai tak cukup ayam, sewajarnya kalau harga ayam itu dah mahal sangat, kita patut kurangkan makan,” katanya pada sidang media Penerbitan Indeks Harga Pengguna (IHP) November 2022, di sini, petang ini.
Rafizi berkata, perbelanjaan makanan dan minum bukan alkohol pula dipecahkan kepada makanan di rumah dan makanan di luar rumah.
Katanya, beberapa hipotesis awal yang disimpulkan, termasuk ketidakanjalan saling kait antara permintaan dan bekalan bagi barangan makanan dan minuman bukan alkohol.
“Secara umum jika harga sesuatu barang menjadi mahal, pengguna akan kurang membeli dan itu akan memberi kesan akhirnya kepada harga
yang dikenakan pembekal.
“Perkara itu tidak begitu berlaku dengan harga barang makanan dan
minuman bukan alkohol dalam kalangan penduduk negara ini, termasuk dari
segi tabiat membeli makanan di luar rumah (dari restoran, gerai dan lain-lain),” katanya.
Rafizi berkata, usaha mengawal inflasi memerlukan kerjasama semua pihak, daripada kerajaan, peniaga sehinggalah kepada rakyat, manakala kementerian kini giat membangunkan langkah segera untuk membaiki rantaian nilai di sebelah pembekal bagi memastikan harga tidak naik dengan bekalan yang mencukupi.
Beliau pada masa sama juga berpendapat wajar gerakkan kesedaran
rakyat diadakan supaya lebih tangkas bertindak balas kepada kenaikan harga
makanan dan minuman bukan alkohol untuk memastikan hubung kait
permintaan dan bekalan lebih anjal.
Melalui kesedaran itu, katanya, apabila pengguna berasakan harga dikenakan oleh peniaga dirasakan terlalu tinggi berbanding harga purata peniaga lain, sewajarnya mereka menjauhi peniaga itu agar faktor permintaan yang berkurang akan menekan peniaga untuk menurunkan harga.
“Ia berikutan peniaga juga tidak sewenang-wenangnya menaikkan harga barang seandainya mereka tahu pengguna tidak akan membelinya.
“Sementara kementerian-kementerian terbabit mengusahakan langkah-langkah jangka sederhana dan jangka panjang di sebelah bekalan (supply side), saya juga memilih untuk memperbaiki keanjalan saling kait harga dan bekalan dalam usaha menangani inflasi.
“Kementerian Ekonomi akan memberi tumpuan jangka pendek kepada
kebertanggungjawab harga berpatutan (fair price accountability) dengan
membangunkan ekosistem berasaskan data harga dari seluruh negara
untuk menyuntik keanjalan harga dan bekalan.
“Saya berharap ekosistem ini (yang diharap akan dibangunkan dan digerakkan oleh pengguna sendiri untuk dilancarkan dalam masa sebulan) akan membantu menambah keanjalan di sebelah permintaan, sebagai satu
usaha mengawal inflasi di masa akan datang,” katanya.
Rafizi berkata, apa yang sepatutnya berlaku ialah pasaran dikawal oleh permintaan dan bukan penawaran namun mengakui bahawa tabiat membeli adalah kompleks.
“Justeru saya berharap negara mampu menyediakan ekosistem tabiat pembelian banyak dipengaruhi oleh penawaran harga yang berpatutan, dengan menggunakan data sedia ada yang disediakan Jabatan Perangkaan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya.