Kabinet akan membincangkan desakan yang disuarakan kakitangan perubatan kontrak Kementerian Kesihatan (KKM) yang mahukan prospek kerjaya yang lebih baik dan selamat.
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata dia menjangka kerajaan akan membuat keputusan berhubung perkara itu “tidak berapa lama lagi”.
Justeru, dia meminta semua kakitangan yang terlibat agar bersabar.
“Berkenaan kedudukan kakitangan perubatan yang dilantik secara kontrak dalam sistem KKM, kita akan bawa perkara ini ke jemaah menteri. Kertas jemaah menteri sedang disediakan.
“Ini untuk memastikan beberapa permohonan untuk menjadikan skim doktor kontrak lebih bermanfaat (dapat dilaksanakan),” katanya dalam sidang media dalam talian hari ini.
Adham berkata demikian ketika mengulas rancangan di kalangan doktor kontrak untuk melakukan hartal. Mereka antara lain menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap apa yang disifatkan sebagai kekurangan peluang perkembangan kerjaya dan keselamatan kerja dalam industri kesihatan.
Adham berkata, KKM pada masa ini memiliki 35,216 kakitangan kontrak termasuk 23,077 pegawai perubatan. Baki kakitangan kontrak lain adalah pegawai pergigian dan farmasi.
Selain itu, katanya lagi, KKM juga memiliki slot latihan siswazah dengan setiap rekrut melibatkan 12,153 pegawai yang baru tamat sebagai doktor pelatih.
Kumpulan ini akan dilantik KKM berdasarkan merit ketika tempoh latihan mereka, katanya lagi.
“Saya mohon supaya doktor dalam skim kontrak untuk bersabar dan bertenang.
“Apa yang kita telah buat sebelum ini adalah naikkan gaji dan selaraskan gred daripada UD41 kepada UD43. (Maka) Gaji dan gred mereka hampir sama dengan doktor tetap, tidak ada banyak perbezaan.
“Beberapa perkara yang dituntut akan kita bawa ke jemaah menteri dan akan kita laksanakan (berdasarkan) keputusan jemaah menteri tak berapa lama lagi,” katanya.
– Malaysiakini