Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 berkaitan pandu uji sebuah kenderaan pikap di Juru, bulan lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Abdul Jalil Hassan mengesahkan kompaun dikeluarkan terhadap pemimpin PAS itu.
“Kami telah memberi kompaun kepadanya (Sanusi) seperti diarahkan pejabat pendakwa.
“Dalam kes melibatkan VIP sebelum ini seperti Neelofa dan Siti Nurhaliza, kami juga berbuat perkara sama, dan terpulang kepada mereka jika mahu membawa ke mahkamah,” katanya seperti dilapor Free Malaysia Today.
Pada 5 Jun, seorang wanita berkongsi di Facebook, yang dia melihat Sanusi dan dua pegawainya memandu uji sebuah pikap bernilai RM211,000 di Juru Auto City.
Sanusi bagaimanapun menafikan memandu uji kenderaan itu, sebaliknya berkata hanya duduk di sebelah jurujual yang memandu.
Nini Siron, 36, mengambil gambar dan video itu di Juru Auto City sebelum memuatnaiknya di Facebook.
– Malaysiakini