Penganalisis politik tidak menolak kemungkinan pengumuman Anggota Parlimen Padang Rengas Nazri Aziz untuk bersara daripada politik bertitik-tolak dari kekecewaan terhadap Umno selain memberi mesej perlunya generasi baru diberi peluang memimpin.
Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Dr Mazlan Ali, berpendapat pengumuman persaraan pemimpin lantang itu tidak mustahil disebabkan kekecewaan terhadap Umno sekarang yang sedang berpecah selepas tewas dalam pilihan raya lalu.
“Kalau sebelum ini Umno agak dominan, selepas kalah parti ini tidak lagi dipandang sebagai parti yang dominan.
“Mungkin beliau melihat bahawa Umno perlu diganti dengan pemimpin-pemimpin baru.
“Jadi apabila beliau umumkan persaraan itu mungkin mesej tersirat bahawa pemimpin yang ada sekarang patut bersara dan beri peluang kepada generasi (kelahiran) selepas merdeka,” katanya kepada Malaysiakini, ketika dihubungi, hari ini.
Semalam Malaysiakini melaporkan bekas menteri itu mengumumkan tidak akan menyertai pilihan raya akan datang selepas enam penggal menjadi wakil rakyat sejak 1995.
Menurutnya, ada ramai pemimpin lebih muda seperti Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob, 60, dan Menteri Kanan Hishammuddin Hussein, 60, justeru dia mahu menyerahkan tugas itu kepada generasi baru.
“Saya rasa ini adalah isyarat untuk orang-orang dari generasi saya bahawa sudah tiba masanya kami pergi dan sokong pemimpin baru,” katanya.
Sementara itu, Mazlan yang juga pensyarah kanan Sekolah Perdana UTM berkata persaraan Nazri merupkan satu isyarat ditujukan kepada pemimpin-pemimpin lama dalam Umno supaya turut berundur kerana dalam parti itu sendiri mempunyai ramai pimpinan lebih muda.
“Dalam Umno ini ada banyak pemimpin muda macam Khairy Jamaluddin untuk memimpin parti, maka isyarat beliau ini dituju kepada pemimpin lama dalam Umno untuk bersara.
“Mungkin anak-anak muda Umno dari Padang Rengas boleh tonjolkan diri selepas ini untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Nazri.
“Beri peluang kepada orang muda ini bermaksud membuka ruang lebih luas kepada generasi baru.
“Ini kerana politik hari ini melihat penglibatan orang muda itu penting. Salah satu kriteria yang dipilih pengundi-pengundi sekarang adalah wakil rakyat yang ada energi, yang boleh bekerja keras iaitu orang-orang muda,” jelasnya.
Tambah penganalisis politik itu, hasrat Nazri pengundurkan diri itu agak mengejutkan dengan mengambil kira perwatakannya.
“Dia seorang yang menonjol dalam Umno berikutan penglibatan dalam karier politik sejak berusia 24 tahun selain pernah berada dalam majlis kerja tertinggi Umno.
“Jadi pengumumannya untuk bersara dari politik itu agak mengejutkan juga walaupun kita sedar bahawa akhir-akhir ini selepas 2018, dia kurang berperanan dalam Umno.
“Malah kritikan-kritikannya mutakhir ini agak menimbulkan kontroversi,” kata Mazlan.
Nazri memang tidak lekang dengan kontroversi termasuk baru-baru ini meminta Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan sebagai presiden parti.
Sebelum PRU 2018, dia mencabar jutawan Robert Kuok untuk kembali ke Malaysia dan bertanding dalam PRU.
“Jangan jadi ‘pondan’. Jangan jadi ‘ayam betina’ yang bersembunyi di balik tembok di Hong Kong, ”katanya.
Pada tahun 2007, Nazri dilihat hilang sabar ketika sidang Dewan Rakyat apabila berulang kali menggelar veteran DAP, Lim Kit Siang sebagai “bodoh”.
Nazri, 67, pernah dilantik sebagai menteri pelancongan dan kebudayaan, menteri di Jabatan Perdana Menteri (hal ehwal undang-undang) dan menteri pembangunan usahawan.
Dia pertama kali terpilih sebagai ahli parlimen Cenderoh pada tahun 1995 dan mempertahankan kerusi tersebut pada pilihan raya 1999, sebelum memenangi kerusi parlimen Padang Rengas dalam empat PRU berturut-turut.
Sebelum itu, dia dilantik sebagai ahli Dewan Negara pada tahun 1990.
– Malaysiakini