Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf menteri, maklum Ketua Setiausa Negara Mohd Zuki Ali yang juga setiausaha kabinet.
“Jemaah menteri dalam mesyuaratnya pada 1 September 2021 telah bersetuju untuk melantik Muhyiddin Yassin, mantan Perdana Menteri ke-8 sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara bertaraf Menteri.
“Pelantikan ini telah disembah maklum kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
“Pelantikan ini juga dibuat atas dasar keyakinan Kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin Yassin untuk menerajui strategi pemulihan negara, demi mencapai impak ekonomi terbaik dan memulihkan semula kehidupan rakyat yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19,” kata Zuki pada satu kenyataan hari ini
Sebelum ini, muncul desas-desus Muhyiddin akan dilantik sebagai menteri mentor selepas dia meletak jawatan perdana menteri.
Muhyiddin digulingkan setelah kem ahli parlimen diketuai oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan daripada kerajaan PN menyebabkan dia kehilangan majoriti.
Zahid secara terang-terangan mempertahankan tindakan itu menegaskan Muhyiddin gagal menangani pandemik Covid-19.
Ketika menjadi perdana menteri, Muhyiddin telah memperkenalkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) – yang secara beransur-ansur akan membuka kembali sektor-sektor ketika keadaan Covid-19 bertambah baik berdasarkan tiga kriteria utama iaitu jumlah kes harian, kapasiti hospital dan kadar vaksinasi.
Rancangan ini dirangka selepas kritikan terhadap kerajaan PN sebelum ini yang kemudian menjelaskan PPN sebagai “dinamik.”
Sebelum ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob telah menawarkan pembangkang untuk menjadi sebahagian Majlis Pemulihan Negara.
Pakatan Harapan masih belum membuat keputusan mengenai perkara itu, tetapi para pemimpin individu telah menyatakan keterbukaan menyertai majlis itu jika ia bukan sekadar ‘pak turut.’
– Malaysiakini