Menganggapnya sebagai langkah semberono terbaru perdana menteri, wartawan veteran A Kadir Jasin berkata Ismail Sabri sebenarnya tidak memiliki sedikit pun rasa hormat kepada orang ramai apabila mengangkat Muhyiddin Yassin mengetuai Majlis Pemulihan Negara (MPN).
Kata A Kadir, dengan memberikan jawatan berkenaan kepada presiden Bersatu itu, Ismail Sabri juga sengaja memperkecilkan pemikiran orang ramai.
“Ismail Sabri menjadikan kerajaan seperti barang mainan untuk bersuka-suka dan bagi mengambil hati Muhyiddin supaya kedudukannya sebagai perdana menteri selamat,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
A Kadir yang juga bekas penasihat Dr Mahathir Mohamad semasa ahli parlimen Langkawi itu menjadi perdana menteri mengingatkan agar orang ramai agar jangan berasa pelik jika Ismail Sabri membuat lantikan lain yang mengejutkan.
“Selepas ini jangan hairan kalau anggota kluster mahkamah pun dilantik ke jawatan penting. Peduli apa. Bukan duit dia. Duit rakyat jelata,” katanya.
Semalam kerajaan mengumumkan Muhyiddin dilantik mempengerusikan MPN dengan tarafnya sama seperti menteri, hasil persetujuan dibuat kabinet dalam mesyuarat pada 1 Sept lalu.
Pengumuman itu dibuat Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali yang juga setiausaha kabinet.
Untuk rekod selepas meletak jawatan pada 16 Ogos lalu ekoran hilang sokongan majoriti di parlimen, muncul desas-desus mendakwa Muhyiddin akan dilantik sebagai menteri mentor.
Desak mahu calon muda, baru
Bagaimanapun tiada pengumuman dibuat mengenainya, menjadikan ahli parlimen Pagoh itu sekadar anggota Dewan Rakyat, presiden Bersatu dan pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Pun begitu kedudukan Muhyiddin dilihat masih berpengaruh apabila sehari selepas Ismail Sabri mengangkat sumpah, dia menyatakan bahawa sokongan diberikan Bersatu kepada naib presiden Umno berkenaan adalah besyarat.
Muhyiddin juga menegaskan kerajaan sekarang kekal dikenali sebagai PN dan apa yang bertukar hanyalah pemimpin yang menjadi perdana menteri. Ia dinafikan secara berlapik oleh Umno baru-baru ini.
Namun setakat ini belum ada pengesahan daripada Ismail Sabri berhubung nama rasmi kerajaan Malaysia.
Sebelum ini Majlis Kerja Tertinggi Umno mengarahkan ahli parlimen mereka menarik sokongan masing-masing kepada Muhyiddin atas alasan dia gagal menguruskan pandemik Covid-19.
Menurut A Kadir baru 15 hari Ismail Sabri menjadi perdana menteri, sudah jelas ahli parlimen Bera itu tidak serius membangunkan sebuah pentadbiran yang berwibawa.
Hal itu kerana, katanya, Ismail Sabri melantik kabinet ‘kitar semula’ dan mengekalkan lantikan politik sebagai duta khas bertaraf menteri selain mengangkat Muhyiddin mengetuai MPN.
“Bekas perdana menteri yang mengaku hilang sokongan ahli Dewan Rakyat daripada gabungannya sendiri dilantik untuk memulihkan negara!
“Kegilaan apakah ini? Apa lagi kalau bukan tikus diberi tugas memperbaiki labu. Tikus itu pula bukan sembarangan tikus, tapi tikus yang merosakkan labu.
“Sekarang dia diberikan tugas memperbaiki labu yang dirosakkannya itu,” katanya lagi.
Tindak-tanduk Ismail Sabri itu kata A Kadir memperkukuhkan lagi pandangan umum bahawa wakil-wakil rakyat dan parti-parti politik ‘katak’ yang membentuk kerajaan PN wajib diajar pada pilihan raya umum ke-15 nanti.
Justeru katanya orang ramai mesti berkempen bagi mendesak agar lebih banyak calon baru, muda, wanita dan berwibawa dikemukakan untuk PRU akan datang.
Mana-mana parti yang gagal memenuhi tuntutan berkenaan, katanya, perlu ditolak.
– Malaysiakini