Ahmad Zahid Hamidi berkata, Umno perlu sentiasa bijak untuk mentafsir sesuatu muafakat sama ada ia benar-benar jujur atau sebaliknya menyelindungi “tipu daya”.
Menulis mengenai kedudukan Muafakat Nasional (MN) hari ini, presiden Umno itu berkata ada pihak yang mencipta pelbagai alasan untuk memberikan justifikasi kononnya Umno tidak mematuhi piagam berkenaan.
Katanya sikap itu dibuat dengan mudah, seperti menukar sesuatu fatwa mengikut selera politik pihak berkenaan.
“Seseorang yang bergelar ulama harus mengikut nas yang sahih, bukan memanipulasi hukum mengikut selera politik untuk memperdagangkan agama demi mencapai objektif siasah.
“Natijah gagal menilai itu sangat tidak baik terhadap Umno, malah musibahnya jauh lebih berbahaya kepada rakyat dan negara,” katanya.
Ahmad Zahid memang tidak menyatakan sebarang nama atau pihak dalam kenyataan tersebut namun jelas diarahkan kepada PAS dan pemimpin parti itu ketika status MN terus menjadi tanda tanya.
Pada 4 Dis lalu Presiden PAS Abdul Hadi Awang mendakwa Umno mengingkari piagam yang dipersetujui kedua-dua parti sebelum ini. Disebabkan itu katanya PAS menolak gagasan MN yang diinginkan Umno.
Tolak pelawaan berpatu di Melaka
Secara umum, PAS mahukan Bersatu – yang muncul daripada serpihan Umno – dibawa menyertai MN. Namun Umno sudah memuktamadkan keputusan melalui perhimpunan agung tahunannya agar tiada sebarang kerjasama dibentuk dengan Bersatu.
Pada masa sama PAS menjadi sebahagian daripada komponen Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi Bersatu.
Ahmad Zahid berkata Umno meyakini bahawa MN asal adalah sebenar-benar muafakat yang terbina atas keikhlasan.
Kata ahli parlimen Bagan Datuk itu lagi MN tersebut dibina di atas landasan perjuangan yang sama iaitu keinsafan untuk berpadu menegakkan kebenaran dan menentang kezaliman.
“Umno telah berusaha mengekalkan permuafakatan itu termasuk dalam Pilihan Raya Negeri Melaka, namun bertepuk sebelah tangan,” katanya lagi.
Tambah Ahmad Zahid pemimpin PAS sering memberi kenyataan bahawa mereka menyokong MN, tetapi apa yang berlaku di Melaka ialah, mereka menolak pelawaan Umno untuk berpadu atas nama MN.
Sebaliknya kata Ahmad Zahid pemimpin PAS membuat keputusan untuk bergandingan dengan Bersatu yang diketahui tujuannya ditubuhkan adalah untuk menjatuhkan Umno.
Pun begitu, tambahnya, Umno tetap menghormati pendirian dan hak pemimpin PAS kekal bersama PN kerana negara ini mengamalkan demokrasi.
“Hidup bermuafakat membawa berkat. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat yang jujur.
“Biar fakta berbicara,” katanya.
– Malaysiakini