Adun Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari menyarankan Presiden Dewan Negara Rais Yatim meminta Umno menukar nama parti menggunakan bahasa Melayu.
Aziz berkata Rais harus meminta Umno menggunakan nama ‘Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu’.
Saranan itu hadir selepas Rais membidas pihak berkuasa tempatan kerana memilih nama Inggeris berbanding nama dalam bahasa Melayu untuk pelbagai lokasi, menyifatkan amalan itu sebagai “menjijikkan.”
“Sebenarnya Rais hanya seorang nasionalis yang dilahirkan semula. Rais tidak pernah berkata begini semasa menjadi menteri atau menteri besar Negeri Sembilan.
“Malah dia pernah menjadi setiausaha parlimen pada tahun 1974 semasa zaman Abdul Razak.
“Kalau Rais begitu ghairah dia patut tekan Umno untuk menggunakan nama Melayu yang pernah digunakan agak lama selepas Umno ditubuhkan tetapi tenggelam.
“Malaysia adalah negara berbilang kaum dan agama jadi kita harus berhati-hati,” kata Aziz kepada Malaysiakini hari ini.
Dia berkata Rais harus mencontohi Presiden PKR Anwar Ibrahim yang merupakan pejuang bahasa Melayu pada zaman menjadi pelajar tetapi sejak itu mengamalkan pandangan berbilang kaum.
“Rais mempunyai kebolehan membuat pusingan U sebenarnya. Dia berpindah ke Parti Semangat 46 selepas Pasukan B kalah dalam pemilihan Umno 1987 kemudian membuat PhD di London mengkritik cara Umno yang tidak demokratik.
“Tetapi tidak lama selepas itu dia menyertai semula Umno,” kata Aziz.
Rais sejak beberapa tahun kebelakangan ini diketahui membidas ahli Dewan Negara kerana menggunakan ungkapan bahasa Inggeris dan pernah secara terbuka mengecam seorang wartawan kerana bertanyakan soalan dalam bahasa Inggeris kepadanya.
Katanya, dia lantang mengenai isu ini sejak 12 tahun lalu.
“Ketika itu kita ada Ukay Heights, Ainsdale, Ampang Waterfront dan banyak lagi yang saya rasa menjijikkan,” kata Rais dalam wawancara dengan Utusan Malaysia.
Rais berkata amalan itu telah menggambarkan obsesi terhadap nama gaya Inggeris, menyamakannya dengan orang Cina yang menggunakan “nama Eropah seperti Michael, James atau George” berbanding nama Cina mereka.
“Saya ingin menyeru semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan untuk mengubah sikap itu,” kata Rais.
– Malaysiakini