Ketegasan Malaysia tidak membenarkan penyertaan atlet Israel dalam Kejohanan Skuasy Berpasukan Dunia Lelaki dijadualkan berlangsung pada 7 hingga 12 Dis di Bukit Jalil bukan bersifat diskriminasi terhadap negara itu, kata Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu.
Menurutnya seluruh dunia maklum bahawa negara ini tiada hubungan diplomatik dengan Israel dalam semua urusan termasuk bidang sukan.
“Apabila persekutuan sukan antarabangsa memberi kebenaran Malaysia sebagai tuan rumah bagi kejohanan antarabangsa, mereka sepatutnya maklum bahawa kita (Malaysia) tidak membenarkan atlet Israel mengambil bahagian,” katanya kepada pemberita di Kompleks Majlis Sukan Negara (MSN) di Nilai hari ini.
Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) dan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) dalam kenyataannya memaklumkan kejohanan itu dibatalkan kerana kemungkinan beberapa negara, dilaporkan Israel, tidak dapat bertanding berikutan tidak dapat pengesahan visa dan kebenaran perjalanan oleh pihak berkuasa Malaysia.
WSF berkata pembatalan kejohanan itu turut dipengaruhi oleh varian Omicron yang sedang menular.
Terdahulu Ahmad Faizal merasmikan Kompleks MSN Nilai iaitu merupakan hab sukan baru dilengkapi padang memanah 20 lorong, gelanggang tinju, muay thai, silat, dan gelanggang futsal yang akan beroperasi Januari depan.
Katanya kos keseluruhan kompleks sukan itu bernilai RM50 juta dan bakal berperanan sebagai nilai tambah daripada segi fasiliti sukan yang mampu mendorong persatuan sukan kebangsaan melahirkan atlet terbaik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Menurut Ahmad Faizal kompleks sukan itu seluas kira-kira 2.42 hektar dan kerja pembinaannya dimulakan pada 1 Jun tahun lepas dan siap sepenuhnya mengikut jadual.
“Kompleks ini bersedia menampung lebih 200 atlet dengan 44 buah bilik asrama disediakan bagi kemudahan penginapan yang bakal beroperasi pada Januari depan,” katanya.
Menurut Ahmad Faizal lagi kos pembinaan tersebut ditanggung oleh syarikat pemaju SkyWorld dengan kerjasama Majlis Sukan Negara dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Katanya pembinaan kompleks tersebut bagi menggantikan Kompleks Sukan MSN Datuk Keramat yang diambil alih oleh DBKL dan SkyWorld.
– Bernama