Bekas menteri kewangan, Lim Guan Eng mendakwa Dr Mahathir Mohamad memiliki memori yang ‘silap’ apabila menuding jari hanya kepadanya dan seorang “penasihat yang dipercayai” dalam memoir bekas perdana menteri itu.
Setiausaha Agung DAP itu berkata selaku menteri kewangan selama 22 bulan dia mempunyai ramai penasihat, antaranya ketua setiausaha kementerian dan timbalannya.
“Tidak adil untuk Mahathir menuding jari terhadap hanya satu penasihat yang dipercayai. Saya pasti Mahathir juga sedar perkara ini. Beliau juga mempunyai ramai penasihat yang dipercayai melibatkan pelbagai portfolio termasuk yang bukan kakitangan awam.
“Malah beliau pernah mengugut memecat saya tiga kali daripada kabinet namun kami tenang sahaja dan terus menjalankan tugas rasmi. Sentimen peribadi mesti diketepikan,” katanya seperti dilaporkan Free Malaysia Today .
Mahathir dilapor menghentikan tindakan seorang penasihat Lim Guan Eng, ketika itu menteri kewangan, yang melangkaui kuasanya dalam urusan dengan penjawat awam, menurut satu laporan.
Menurut laporan itu, buku terbaru Mahathir yang bakal diterbitkan ada menyebut mengenai seorang pemimpin DAP yang tidak dinamakan melibatkan diri dalam urusan kerajaan, walaupun di luar bidang kuasanya, dan ia boleh memberi “peluru” kepada penyokong Umno untuk membangkitkan sentimen perkauman terhadap parti itu.
Mahathir tidak menyatakan nama penasihat Lim yang dimaksudkan tetapi menyebut dia adalah wakil rakyat di Lembah Klang dan antara pegawai yang rapat dengan Lim di Kementerian Kewangan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Antara lain, Mahathir berkata itu individu itu banyak mewakili Lim dan mula berfikir dia boleh menggunakan kuasa ke atas penjawat awam.
Mahathir turut menyebut satu insiden di mana individu itu didakwa mengugut sebuah syarikat pemaju yang berdepan masalah kewangan dalam projek usaha sama dengan kerajaan untuk membangunkan kompleks bernilai berbilion ringgit di Kuala Lumpur.
“Ada juga ketika di mana penasihat ini secara terbuka bercakap bagi pihak kerajaan walau tiada kedudukan untuk berbuat demikian,” Mahathir dipetik sebagai berkata dalam memoirnya.
Bagaimanapun, kata Mahathir, cadangan daripada kementerian perlu dipersetujui secara bersama oleh kabinet dan Lim sentiasa merujuk dan mendapatkan kelulusannya selaku perdana menteri untuk hampir semua inisiatif.
“Malah, ketika dalam mesyuarat Kabinet, setiap kali dia mencadangkan sesuatu, dia akan menutupnya dengan berkata ‘jika perdana menteri bersetuju’,” kata Mahathir lagi seperti dipetik.
Memoir bertajuk ‘Capturing Hope: The Struggle Continues for a New Malaysia’ adalah memoir kedua Mahathir yang menyentuh tempoh persaraannya pada 2003 sehingga kembali berkuasa pada 2018. Ia dijangka berada di pasaran hujung bulan ini dan boleh didapati di kedai buku utama pada harga RM100 setiap satu.
Dalam satu kenyataan, Ahli Parlimen Damansara DAP Tony Pua, yang berkhidmat sebagai setiausaha politik kepada bekas menteri kewangan itu, menafikan dakwaan Mahathir.
Pua berkata dia adalah sasaran mudah bagi sesiapa yang tidak berpuas hati dengan kementerian kewangan yang cuba membersihkan segala kerosakan yang dilakukan perdana menteri terdahulu, Najib Razak.
Ahli parlimen DAP itu juga berkata Mahathir mempunyai sikap berat sebelah dan prejudis terhadapnya.
– Malaysiakini