Emiriah Arab Bersatu (UAE) akan menukar minggu bekerja menjadi empat hari setengah sahaja dalam seminggu, dan waktu hujung minggu diubah kepada Sabtu dan Ahad.
Keputusan itu diputuskan bagi meningkatkan daya saing ekonomi dan keseimbangan kehidupan kerja, kata pegawai, hari ini.
‘Minggu kerja kebangsaan’ itu akan diwajibkan kepada badan kerajaan mulai 1 Januari 2022, dengan waktu bekerja Jumaat berakhir pada 12 tengah hari, sebelum khutbah dan solat Jumaat.
Kerajaan dalam satu kenyataan berkata, peralihan itu akan memastikan transaksi kewangan, perdagangan dan ekonomi berjalan lancar selepas negara-negara mengikuti waktu hujung minggu Sabtu-Ahad.
Ini bagi memudahkan hubungan dan peluang perniagaan antarabangsa yang lebih kukuh untuk beribu-ribu syarikat yang berpangkalan di UAE dan multinasional.
Negara Teluk pengeluar minyak, hab komersial, perdagangan dan pelancongan rantau itu, pada tahun lalu telah mengambil langkah untuk menjadikan ekonominya lebih menarik pelaburan asing, pada masa persaingan ekonomi semakin meningkat dengan negara jiran Arab Saudi.
“Keputusan itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan UAE untuk meningkatkan keseimbangan kehidupan kerja.
“Ia juga meningkatkan kesejahteraan sosial, sambil meningkatkan prestasi untuk memajukan daya saing ekonomi UAE,” lapor agensi berita rasmi WAM.
Keputusan itu menjadikan UAE negara pertama yang memperkenalkan minggu bekerja lebih pendek daripada minggu lima hari global, kata agensi negara itu.
– Agensi