Pegawai polis Israel telah menembak dan membunuh seorang pemuda Palestin di Bab al-Amud di Baitulmaqdis yang Diduduki pada petang Sabtu lepas, selepas mendakwa bahawa dia telah menikam seorang peneroka.
Sumber tempatan berkata bahawa pemuda itu menikam seorang peneroka Israel sebelum ditembak mati, sambil menambah bahawa dia tidak mendatangkan apa-apa bahaya kepada pegawai polis yang terus menembaknya walaupun terbaring tidak berdaya di atas tanah.
Pegawai polis menghalang krew ambulans daripada membantu pemuda itu, yang terus-menerus berdarah sehingga dia meninggal dunia, kata sumber, sambil menambah bahawa para pegawai kemudiannya telah melepaskan bom bunyi ke arah para pemuda Palestin yang berkumpul di kawasan tersebut.
Jurucakap Hamas di Baitulmaqdis, Mohammed Hamada, berkata dalam kenyataan akhbar pada malam Sabtu bahawa apa yang berlaku kepada anak muda Baitulmaqdis itu mencerminkan “kebiadaban” rejim Zionis.
Beliau berkata “tingkah laku jenayah” seperti itu harus dikutuk, dan menyifatkan ia sebagai keganasan sebenar. Beliau menambah bahawa rejim Zionis tidak mengambil peduli apa-apa norma atau undang-undang.
Sumber Baitulmaqdis berkata bahawa polis Israel menutup semua pintu Kota Lama dan Masjid Al-Aqsa selepas kejadian tikaman itu dan menangkap seorang pemuda dan membelasah seorang lagi.
Persatuan kebajikan Amal untuk perkhidmatan kesihatan berkata bahawa ia telah merawat 40 orang Palestin yang terkorban di kawasan berkenaan akibat serangan polis Israel ke atas orang awam yang berkumpul di sekitar kejadian itu, di mana sebahagian daripada mereka cedera akibat terkena peluru bersalut getah.
– Palestinkini