Majlis perbandaran Israel di Baitulmaqdis telah memulakan projek di tanah milik Palestin di pintu masuk kawasan kejiranan Sheikh Jarrah – yang dirampas sebelum ini kononnya atas alasan ‘kepentingan awam’.
Agensi berita WAFA melaporkan, petugas perbandaran dan jentolak memulakan kerja pembersihan ke atas tanah – yang berkeluasan kira-kira 4,700 meter persegi – milik empat keluarga Palestin yang digunakan sebagai tempat cuci dan letak kereta.
Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Israel membenarkan majlis perbandaran mengambil alih tanah Palestin itu bagi tujuan menubuhkan taman kepada pendudukan haram, kerana didakwa berdekatan dengan kuil Shimon HaTzedik.
Majlis perbandaran mengeluarkan keputusan untuk merampas tanah itu pada 2016 selepas beberapa percubaan gagal ekoran penentangan pengambilalihan daripada empat keluarga Palestin.
Shadi Nassar, salah seorang penyewa di tanah berkenaan memberitahu bahawa majlis perbandaran menyerahkan notis pengusiran serta-merta semalam, dan mengugut akan mengenakan denda berat jika gagal berbuat demikian.
“Kami mula rombak tempat cuci kereta dan tempat letak kereta yang digunakan lebih 40 bas dan tiga kontena yang berfungsi sebagai pejabat, tapi hari ini majlis perbandaran mula musnahkan tanah ini,” katanya.
– Agensi