Sebanyak 11 buah kenderaan termasuk sebuah bas ekspres terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 139.3 Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan dekat Perai di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan pada kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, namun beberapa pemandu dan penumpang kenderaan yang terlibat dilaporkan mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Shafee Abd Samad berkata siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila bas dari arah Butterworth itu yang dalam perjalanan ke Ipoh, Perak disyaki hilang kawalan telah melanggar sebuah kereta yang berada di hadapannya, sebelum melanggar sembilan lagi kenderaan yang berada di laluan sama.
Katanya siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Shafee berkata mereka yang menjadi saksi kemalangan itu diminta untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohd Sufi Abdul Razak di talian 0134774542 atau 04-5382222.
Kemalangan itu telah menyebabkan kesesakan teruk di sepanjang 15 kilometer lebuh raya tersebut apabila kedua-dua lorong terhalang, sebelum kesemua kenderaan yang terlibat berjaya dialihkan kira-kira pukul lima petang.
Perkongsian pengguna media sosial menyatakan kemalangan itu turut melibatkan sebuah van polis jenis Toyota Hiace selain kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Vellfire dan Honda Stream, kereta jenis Perodua Myvi dan Perodua Axia, serta beberapa kenderaan lain.
-Bernama