Polis menahan 14 suspek dan menyelamatkan tiga bayi serta seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun, selepas menumpaskan satu sindiket penjualan bayi menggunakan laman sosial Instagram dalam Op Pintas Nana, di Melaka Tengah, baru-baru ini.
Ketua Polis Melaka Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata mereka terdiri daripada 10 warga tempatan dan empat wanita Indonesia yang ditahan antara 30 Nov dan semalam.
Beliau berkata dalang utama sindiket itu adalah seorang wanita yang dikenali sebagai ‘Nana’, 33, dan turut ditahan adalah sepasang suami isteri berusia 40-an yang dipercayai pembeli.
“Sindiket ini menggunakan Instagram ‘Mencari Anak Angkat Syurga’ untuk menjalankan kegiatan mereka, dan ia dikesan mula aktif pada Mac 2020 dengan kadar bayaran bagi urusan jual beli bayi adalah sekitar RM12,000, bergantung kepada persetujuan antara pasangan dan sindiket,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Melaka hari ini.
Katanya semua suspek berumur 25 hingga 58 tahun, dan polis sedang memburu seorang wanita berumur 27 tahun yang dipercayai bertindak sebagai bidan, bagi membantu siasatan.
“Suspek dipercayai menguruskan tujuh kelahiran bayi di beberapa rumah inap di sekitar Melaka. Upah yang diterima bidan tidak bertauliah ini adalah sekitar RM1,000 bagi setiap kelahiran,” katanya.
Abdul Majid berkata setakat ini polis berjaya menyelamatkan dua bayi lelaki berusia tiga bulan dan seorang bayi perempuan berusia empat bulan serta seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.
“Kita sedang mengesan tiga lagi bayi yang telah dijual kepada keluarga angkat,” katanya.
Katanya kesemua suspek direman dari 17 Dis hingga 27 Dis dan kes disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 20 tahun serta diboleh dikenakan denda.
– Bernama