Sekumpulan penjenayah yang aktif mencuri lembu bertindak kejam membunuh 38 penduduk, semalam dalam tiga serangan berasingan di negeri Kaduna, utara Nigeria.
Setakat ini, pihak berkuasa baru mengenal pasti 29 mangsa yang maut dalam serangan terbabit.
Pesuruhjaya hal ehwal dalam negeri Kaduna, Samuel Aruwan berkata, kumpulan penyerang menggunakan motosikal menyerbu beberapa kampung antaranya Kauran Fawa, Marke dan Riheya di daerah Giwa.
“Agensi keselamatan mengesahkan 38 orang terbunuh di semua lokasi serangan. Beberapa rumah, lori dan kereta turut terbakar selain hasil pertanian di ladang juga musnah,” katanya dalam kenyataan, di sini.
Presiden, Muhammadu Buhari, dalam kenyataan semalam mengutuk serangan bersifat kejam dalam pembunuhan terbaru itu.
Beliau turut mengulangi desakannya kepada ketua keselamatan dan risikan bagi melakukan segala yang termampu untuk menumpaskan penyerang susulan serangan sama turut berlaku di kawasan lain sepanjang minggu lalu.
Beberapa negeri di Nigeria berdepan ancaman kumpulan jenayah pencuri lembu dan penculik yang menyerbu kampung, membunuh penduduk, mencuri ternakan dan membakar serta merompak.
Lebih parah, kumpulan penjenayah semakin berani dengan menyasarkan sekolah dalam penculikan besar-besaran pelajar bagi mendapatkan wang tebusan daripada ibu bapa dan pihak berkuasa.
– AFP