Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Utopia 56, memfailkan tuduhan bunuh terhadap pegawai tinggi Perancis dan Britain kerana didakwa gagal membantu 27 individu lemas ketika cuba menyeberang Selat Inggeris November lalu.
Tuduhan difailkan badan kemanusiaan itu semalam menamakan Pengawal Pantai Cherbourg, Philippe Dutrieux; Pengarah Pengawal Pantai Wilayah Perancis, Marc Bonnafous serta Pengarah Pengawal Pantai Diraja Britain, Claire Hughes.
Mereka dituduh melakukan pembunuhan tanpa niat dan gagal membantu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang memerlukan bantuan ketika menyeberang Selat Inggeris.
Utopia 56 berkata, menurut kenyataan dua mangsa yang terselamat, mereka sudah membuat panggilan kecemasan kepada perkhidmatan penyelamat Perancis dan British sebelum mayat pendatang lain akhirnya ditemui oleh bot pukat tunda nelayan.
“Mereka tidak diberi bantuan segera,” katanya dalam satu kenyataan.
Kebanyakan mangsa kemalangan bot yang lemas pada 26 November lalu adalah warga Kurd Iraq, empat lelaki Afghanistan, tiga warga Ethiopia selain masing-masing seorang warga Somalia dan Kurd Iran.
Mangsa yang maut membabitkan tujuh wanita, termasuk seorang berusia 16 tahun dan seorang lagi tujuh tahun.
Utopia 56 mendakwa, kegagalan bertindak pengawal pantai Perancis dan Britain adalah ‘perkara biasa’, sambil berharap siasatan akan mendedahkan punca sebenar kematian.
Persatuan itu kesal siasatan Perancis ke atas kemalangan itu bertumpu kepada pemerdagangan manusia, bukan menjurus kepada kegagalan pihak berkuasa sementara Britain pula tidak melakukan sebarang siasatan.
Kemalangan maut di Selat Inggeris itu turut menyebabkan ketegangan diplomatik antara London dan Paris.
Dalam tempoh 48 jam selepas kemalangan itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron, menuduh Perdana Menteri Britain, Boris Johnson, sebagai tidak serius dalam menghalang penyeberangan haram seumpamanya.
Perancis pula kesal dengan reaksi awal Johnson, yang dilihat sebagai mengalihkan kesalahan kepada negara itu.
Menurut hasil siasatan, PATI itu bergerak dengan bot dari Loon-Plage di utara Perancis pada waktu malam.
Selepas bot mereka karam, hanya dua lelaki, iaitu seorang Kurd Iraq dan seorang warga Sudan berjaya diselamatkan.
Menurut mangsa terselamat itu, terdapat sejumlah 33 orang di atas bot berkenaan.
– AFP