Sekurang-kurangnya 125 rakyat Palestin cedera dalam pertempuran dengan pasukan pengganas Israel di Nablus semalam, selepas ratusan penjajah – yang dilindungi tentera – cuba menceroboh dan menyerang kampung itu.
Bulan Sabit Merah Palestin (PRC) memberitahu, 42 rakyat Palestin, termasuk seorang wartawan cedera selepas ditembak dengan peluru keluli bersalut getah, manakala 83 yang lain alami sesak nafas akibat terhidu gas pemedih mata yang dilepaskan tentera Israel.
PRC berkata, seorang gadis Palestin turut dirawat kerana terkejut diserang sekumpulan penjajah haram Israel yang secara ganas menyerang rumah keluarganya di pinggir kampung itu.
Dua kenderaan ambulans turut dilemparkan bom tangan dan diserang dengan tong gas pemedih mata oleh pasukan tentera Israel.
Difahamkan, pintu masuk ke kampung itu telah ditutup dengan timbunan tanah oleh tentera penjajah sejak semalam untuk membenarkan akses pendatang haram Israel ke tapak berhampiran Homesh – penempatan Israel sebelum 2005 yang didesak oleh peneroka ultra-Ortodoks kepada kerajaan Tel Aviv.
Puluhan bas dipenuhi pendatang haram Israel dilihat di Repute 60 bersebelahan kampung itu semalam, ketika peneroka sengaja melalui jalan utama Jenin-Nablus dan menyekat serta menyerang akses kenderaan Palestin.
Serangan keganasan dan vandalisme oleh pendatang haram Israel adalah perkara biasa sepanjang tahun, namun perbuatan itu dilaporkan semakin meningkat sepanjang minggu lalu di seluruh Tebing Barat, terutama wilayah Nablus.
– Agensi