Lembaga Narkotik Thailand merancang akan mengeluarkan ganja daripada senarai dadah, sekali gus membenarkan kepada isi rumah untuk menanam tumbuhan itu.
Thailand menjadi negara Asia Tenggara pertama yang menghalalkan ganja pada 2018 untuk kegunaan perubatan dan penyelidikan.
Di bawah peraturan baharu itu, orang ramai boleh menanam pokok ganja di rumah mereka selepas memaklumkan perkara itu kepada kerajaan tempatan.
Bagaimanapun, ganja tidak boleh digunakan untuk tujuan komersial tanpa permohonan lesen, kata Menteri Kesihatan, Anutin Charnvirakul.
Peraturan itu mesti diterbitkan secara rasmi dalam Warta Diraja untuk tempoh 120 hari sebelum tumbuhan itu dianggap sah ditanam di rumah.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Thailand minggu ini akan membentangkan draf Rang Undang-Undang berasingan kepada Parlimen yang menyatakan butiran penggunaan ganja secara sah, termasuk pengeluaran, penggunaan komersialnya serta garis panduan.
Ganja buatan sendiri harus digunakan untuk tujuan perubatan seperti perubatan tradisional, kata Ketua Pengawal Selia Makanan dan Dadah, Paisal Dankhum.
Undang-undang penanaman ganja secara haram tanpa pemberitahuan kepada kerajaan akan didenda sehingga 20,000 baht atau sehingga 300,000 baht atau tiga tahu penjara atau kedua-duanya sekali.
Difahamkan, langkah itu adalah yang terbaharu dalam rancangan Thailand untuk mempromosikan ganja sebagai tanaman tunai.
Ini kerana, kira-kira satu pertiga daripada tenaga buruh negara itu bekerja dalam bidang pertanian, menurut Bank Dunia.
– Agensi