Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu jelajah hari ini, yang juga ujian senjata kelimanya tahun ini ketika Pyongyang cuba menunjukkan kekuatan ketenteraannya sambil mengabaikan tawaran Amerika Syarikat (AS) untuk berunding.
“Korea Utara melancarkan dua objek yang disyaki sebagai peluru berpandu jelajah,” kata Ketua Turus Bersama Korea Selatan dalam satu kenyataan, hari ini, tanpa mengulas lanjut.
Kali terakhir Korea Utara melaksanakan jumlah ujian senjata sebanyak itu adalah pada 2019, selepas rundingan berprofil tinggi antara Kim Jong Un dan Donald Trump, menemui kegagalan.
Tahun ini, Pyongyang melaksanakan sejumlah ujian senjata termasuk peluru berpandu hipersonik, selepas Jong Un kembali menyatakan komitmen ke arah pemodenan ketenteraan dalam satu ucapan penting bagi partinya, Disember tahun lalu.
Washington bertindak balas dengan mengenakan sekatan baharu, menyebabkan Pyongyang menggandakan ujian senjatanya dan memberi bayangan mungkin menamatkan moratorium ujian nuklear dan peluru berpandu jarak jauh.
Peluru berpandu jelajah tidak dilarang dalam sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikenakan terhadap Korea Utara ketika ini, dan Seoul kebiasaannya tidak melaporkan pelancaran seumpamanya pada masa sebenar, berbanding ujian peluru berpandu balistik.
Kali terakhir Korea Utara diketahui menjalankan ujian peluru berpandu jelajah adalah pada September tahun lalu.
Seorang pegawai tentera Korea Selatan memberitahu agensi berita Yonhap bahawa ‘sekiranya peluru berpandu itu dilancarkan ke arah selatan, sistem pengesanan dan pintasan Korea Selatan tidak berdepan masalah untuk mengatasinya’.
Profesor di Universiti Kajian Korea Utara, Yang Moo-jin, melihat ujian terkini Pyongyang itu dilihat sebagai provokasi terhadap pentadbiran Presiden AS, Joe Biden, yang menawarkan rundingan ‘tanpa syarat’, namun tiada sebarang komunikasi peringkat tinggi yang bermakna sepanjang tahun lalu.
“Korea Utara dilihat mahu menguji reaksi Washington, di samping menunjukkan keberadaannya di peringkat global,” katanya.
– AFP