Seoul: Korea Utara hari ini menguji peluru berpandunya yang paling berkuasa sejak 2017, dengan Korea Selatan memberi amaran ujian nuklear jarak jauh mungkin menyusul.
Senjata terbaru itu difahamkan meningkatkan kuasa tembakan untuk pelancaran ketujuh Korea Utara, yang memecahkan rekod bulan ini.
Pyongyang tidak pernah menguji peluru berpandu sebanyak ini dalam sebulan dan minggu lalu mengancam untuk membatalkan moratorium kendiri selama hampir lima tahun untuk menguji senjata jarak jauh dan nuklear.
Susulan rundingan damai dengan Amerika Syarikat (AS) terhenti, Korea Utara mengotakan janji pemimpinnya, Kim Jong-un untuk memodenkan angkatan bersenjata rejim itu walaupun dikenakan sekatan antarabangsa.
Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in, dalam satu kenyataan selepas mesyuarat Majlis Keselamatan Kebangsaan Seoul, berkata Korea Utara ‘hampir memusnahkan pengisytiharan moratorium’.
Pihak tentera Korea Selatan hari ini mengesan peluru berpandu balistik jarak pertengahan yang ditembak pada sudut tinggi ke arah Laut Timur.
Lintasan itu membabitkan peluru berpandu yang ditembak pada sudut tinggi berbanding keupayaan penuhnya.
Menurut Ketua Turus Bersama Seoul, peluru berpandu itu dijangka mencecah ketinggian maksimum 2,000 kilometer (km) dan berada di udara sekitar 800 km selama setengah jam.
Sementara itu, jurucakap tertinggi kerajaan Jepun, Hirokazu Matsuno, hari ini berkata peluru berpandu balistik itu adalah peluru berpandu jarak pertengahan atau lebih jauh.
Pyongyang menguji peluru berpandu hipersonik dua kali pada bulan ini dan menjalankan empat pelancaran peluru berpandu balistik serta jelajah jarak dekat, sekali gus mengundang gesaan antarabangsa supaya dikenakan sekatan.
Bagaimanapun, China bersama dengan Russia bulan ini menyekat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) daripada mengenakan sekatan baharu sebagai tindak balas kepada ujian terbabit.
Penganalisis di Institut Kajian Strategik Antarabangsa, Joseph Dempsey, menerusi ciapan Twitter, berkata ia menjadi penanda aras bahawa Pyongyang mungkin sudah menguji Peluru Berpandu Jarak Pertengahan (IRBM) pertama sejak 2017.
Kali terakhir, Pyongyang menguji peluru berpandu seumpamanya adalah pada 2017 melalui Hwasong-12 yang terbang sejauh 787 km pada jarak lebih dari 2,111 km.
Menurut penganalisis, pada masa itu lintasan menunjukkan bahawa peluru berpandu terbabit berupaya terbang sekitar 4,500 km jika ditembak pada jarak maksimum lintasan peluru berpandu.
Ia meletakkan wilayah Guam di AS dalam lingkungan yang boleh dicapai peluru berpandu terbabit.
Pyongyang menguji peluru berpandu hipersonik dua kali pada bulan ini, serta menjalankan empat pelancaran peluru berpandu balistik dan jelajah jarak dekat.
Minggu lalu, Jong-un dirakam gambarnya oleh media kerajaan sedang memeriksa kilang peluru yang menghasilkan sistem senjata utama.
Penganalisis RAND Corporation, Soo-kim, memberitahu AFP bahawa pemimpin itu kini cuba menahan keinginannya untuk ujian dan provokasi.
Sementara menurut Profesor di Universiti Ewha, Leif Easley, kegilaan peluru berpandu juga bertujuan untuk mengingatkan dunia bahawa rejim Jong-un mendengar perbincangan luar mengenai kelemahan domestiknya.
“Ia mahu mengingatkan Washington dan Seoul bahawa usaha untuk menggulingkannya perlu ‘dibayar dengan harga yang sangat tinggi’,” katanya.
Pelancarannya ketika China, satu-satunya sekutu utama Korea Utara, bersedia menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Sejuk bulan depan selain Korea Selatan bersiap sedia untuk pilihan raya presiden pada Mac, turut mengundang kebimbangan.
Pada masa sama, Korea Utara sedang bersiap sedia untuk menyambut ulang tahun ke-80 kelahiran mendiang pemimpin Kim Jong-Il pada Februari serta ulang tahun ke-110 pengasas, Kim Il-sung pada April.
Namun, China bersama Russia bulan ini menyekat usul Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) daripada mengenakan sekatan baharu sebagai tindak balas kepada ujian terbaru peluru berpandu.
– AFP