Tentera pengganas Israel menahan 18 rakyat Palestin, termasuk lima kanak-kanak dari pelbagai bahagian di Tebing Barat, semalam.
Menurut sumber tempatan dan keselamatan, tentera Israel menangkap seorang warga Palestin di Ramallah selepas menyerbu rumahnya di kem pelarian al-Am’ari selatan bandar al-Bireh.
Sumber berkata, tentera Zionis turut menahan semula dua bekas tahanan Palestin selepas menceroboh dan menggeledah rumah mereka di ‘Arura, barat laut Ramallah.
Serbuan sama turut dilakukan di bandar Sinjil, timur laut Ramallah yang membawa kepada penahanan seorang penduduk Palestin.
Sementara di daerah Baitulmaqdis, kenderaan tentera Israel menyerbu bandar al-Eizariya, di mana seorang lagi rakyat Palestin ditahan selain kediamannya turut digeledah pasukan rejim.
Tentera Israel melakukan serbuan sama di bandar Anata, dan menahan seorang rakyat Palestin selepas rumahnya diceroboh serta digeledah secara paksa.
Di daerah Bethlehem, askar pengganas Israel menangkap seorang penduduk Palestin selepas menceroboh rumahnya di kampung Husan.
Rejim melakukan serbuan sama di bandar Beit Fajjar dan menahan dua remaja Palestin berusia 16 tahun.
Di daerah Hebron, askar bersenjata menangkap tiga yang lain termasuk dua remaja berusia 15 tahun, selepas rumah keluarga mereka di kawasan kejiranan Jabal Abu Rumman diserbu.
Serbuan itu mencetuskan konfrontasi yang menyebabkan askar melepaskan tembakan ke arah pemuda, dan mengakibat seorang cedera di kaki akibat terkena bom tangan.
Pasukan rejim turut menahan dua remaja berusia 14 dan 15 tahun di daerah sama, selain mengganggu penduduk di bandar Beit Ummar, selatan Tebing Barat.
Di utara Tebing Barat, sekumpulan besar tentera Israel menyerbu kawasan kejiranan bandar Jenin di Marah, dan menangkap semula seorang bekas tahanan Palestin serta menggeledah rumahnya.
Sumber memberitahu, serbuan turut dilakukan di kampung Kafr Qaddoum timur Qalqiliya menyebabkan penahanan seorang penduduk Palestin.
– Agensi