Negara pakatan yang diketuai Arab Saudi melancarkan beberapa siri serangan udara terhadap kawasan telekomunikasi di Sanaa, Yaman sambil mendakwa pemberontak Houthi menggunakannya untuk melancarkan ‘operasi perseteruan’.
Agensi berita rasmi Saudi SPA pada Isnin memetik pakatan itu sebagai berkata, pihaknya memusnahkan sistem komunikasi yang digunakan untuk mengendalikan stesen kawalan dron.
“Kumpulan Houthi menggunakan Kementerian Telekomunikasi dan Teknologi Maklumat di Sanaa untuk operasi mereka,” dakwanya.
Penduduk dan saluran televisyen Al Masirah – yang dikendalikan Houthi – kemudian melaporkan satu lagi serangan ke atas Sanaa, yang juga menempatkan bangunan syarikat telekomunikasi TeleYemen, pada petang Isnin.
Menteri Telekomunikasi yang berpangkalan di Sanaa, Misfer al-Numair menafikan bahawa kemudahan itu digunakan untuk tujuan ketenteraan.
Gabungan itu – yang memerangi Houthi selama hampir tujuh tahun – berkata, ia meminta orang awam di kementerian untuk berpindah sebelum operasi dijalankan sebagai tindak balas terhadap serangan dron minggu lalu di Lapangan Terbang Abha, Arab Saudi yang mencederakan 12 orang.
Seorang pegawai TeleYemen memberitahu Reuters bahawa para pekerja telah dipindahkan.
Sementara itu, seorang wartawan AFP di Sanaa mengesahkan serangan udara pakatan menyasarkan beberapa kawasan ibu kota di sekitar kementerian itu.
Ia adalah kali pertama gabungan berkenaan menyasarkan kementerian awam, kerana setakat ini mereka hanya menyerang Kementerian Pertahanan.
Gerakan Houthi kerap menembak dron dan peluru berpandu ke bandar-bandar Arab Saudi dan baru-baru ini memperluaskan serangan ke atas ahli gabungan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Pakatan itu kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan udara ke atas Yaman.
Pakatan pimpinan Arab Saudi campur tangan di Yaman pada tahun 2015 selepas Houthi menggulingkan kerajaan yang disokong Riyadh dan Barat.
Pergerakan itu mengatakan ia memerangi sistem rasuah dan pencerobohan asing.
– Agensi