Jordan mengecam pencerobohan negara haram Israel terhadap kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur yang diduduki.
Jurucakap Kementerian Luar Jordan, Haitham Abu Al-Foul dalam satu kenyataan menegaskan, arahan pengusiran terhadap penduduk kejiranan Sheikh Jarrah di Baitulmaqdis Timur adalah melanggar undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan.
Tegasnya, Israel sebagai kuasa penjajah bertanggungjawab untuk melindungi dan mempertahankan hak rakyat Palestin di rumah mereka, sambil menambah tindakan rejim pengganas meningkatkan pendudukan menjejaskan keamanan.
Ahad lalu, sekurang-kurangnya 31 rakyat Palestin di kejiranan Sheikh Jarrah cedera dan 12 yang lain ditahan apabila tentera rejim Zionis menyerang perhimpunan yang membantah arahan pengusiran Israel terhadap keluarga Palestin.
Tahun lalu, ketegangan memuncak di kawasan kejiranan itu selepas mahkamah Israel mengarahkan pengusiran beberapa keluarga Palestin yang memihak kepada peneroka haram.
Pada tahun 1956, 28 keluarga menetap di Sheikh Jarrah di bawah perjanjian antara kerajaan Jordan yang memerintah Tebing Barat termasuk Baitulmaqdis Timur – sebelum pendudukan haram Israel pada tahun 1967 – dan Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
Bagaimanapun, persatuan penempatan Israel mendakwa kononnya rumah itu dibina di atas tanah dimiliki oleh orang Yahudi sebelum tahun 1948, satu tuntutan yang ditolak sekeras-kerasnya oleh penduduk Palestin.
– Agensi