YouTube memaklumkan menyekat mana-mana saluran yang bergabung atau disokong Russia di seluruh dunia ekoran serangan Moscow ke atas Ukraine sejak Februari lalu.
Syarikat gergasi dunia itu mula menyekat saluran YouTube RT dan Sputnik di seluruh Eropah minggu lepas.
“Kami memadam kandungan mengenai pencerobohan Russia di Ukraine yang melanggar polisi ini.
“Garis panduan komuniti melarang kandungan berunsur penafian, meminimumkan atau meremehkan peristiwa keganasan yang didokumentasikan dengan baik,” katanya di Twitter pada Jumaat.
Polisi yang dikemas kini akan berkuat kuasa serta-merta tetapi sistem YouTube akan mengambil masa untuk menyekat saluran sepenuhnya.
YouTube juga telah memadam lebih daripada 1,000 saluran dan lebih 15,000 video kerana melanggar dasar seperti ucapan kebencian, maklumat tidak benar dan kandungan grafik ketika perang Russia terhadap Ukraine.
“Selain itu, baru-baru ini kami telah menjeda semua iklan YouTube di Russia,” kata YouTube.