Kementerian Pertahanan Russia mendakwa, menyerang lima depoh peluru di Ukraine dengan senjata berketepatan tinggi pada Selasa.
Jurucakapnya, Igor Konashenkov berkata, serangan peluru berpandu berketepatan tinggi jarak jauh itu terkena pada gudang bahan api dan pelincir yang besar di Lysychansk serta Kramatorsk, gudang senjata roket dan artileri di Druzhkivka serta depoh peluru di Nadezhdinka dan Novooleksandrivka.
Sementara itu, pasukan Aeroangkasa Russia mendakwa menyerang 83 objek ketenteraan Ukraine, termasuk empat pos komando, empat sistem pertahanan udara, tiga gudang senjata roket, artileri dan peluru serta 68 tempat pengumpulan peralatan ketenteraan.
Konashenkov mendakwa, sistem pertahanan Russia menembak jatuh enam pesawat udara tanpa pemandu Ukraine, termasuk satu Bayraktar.
“Secara keseluruhan, sejak permulaan operasi khas ketenteraan, 236 pesawat udara tanpa pemandu, 185 sistem pertahanan udara, 1,547 kereta kebal dan kenderaan tempur berperisai lain, 154 pelancar roket berganda, 612 meriam medan dan meriam mortar serta 1,343 unit kenderaan tentera telah musnah,” katanya.
Perang Russia-Ukraine yang bermula pada 24 Februari telah mencetuskan kemarahan antarabangsa dengan Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) antara lain melaksanakan sekatan kewangan ke atas Moscow.
Sekurang-kurangnya 925 orang awam terbunuh ketika perang dan hampir 1,500 cedera, menurut angka Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Badan antarabangsa itu memberi amaran bahawa jumlah sebenar berkemungkinan jauh lebih tinggi.
Malah, PBB memberitahu bahawa lebih 3.5 juta orang telah melarikan diri dari Ukraine di tengah-tengah serangan Russia.