Bekas timbalan menteri pendidikan Pakatan Harapan mendakwa pelajar antarabangsa dan ahli akademik “terpinga-pinga” dengan pengumuman Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengenai dasar bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi negara ini.
Menurut Teo Nie Ching dasar mewajibkan pelajar antarabangsa untuk mempelajari bahasa Melayu sudah wujud sejak 2014 lagi.
Katanya pengumuman dibuat Ismail Sabri pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2021 pada 19 Mac lalu itu adalah kurang jelas.
“Pelajar antarabangsa memang sudahpun diwajibkan mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu Komunikasi dalam konsep Mata Pelajaran Pengajian Umum.
“Mereka juga berpeluang mempelajari Hubungan Etnik dan Tamadun Asia dan Tamadun Asia (Titas).
“Program ini telah diterapkan sejak 2014 dan dilaksanakan oleh setiap universiti tempatan yang mengambil pelajar antarabangsa,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Semasa menggulung perbahasan di PAU itu Ismail Sabri berkata kerajaan mewajibkan pelajar asing yang menuntut di negara ini untuk mengambil subjek Bahasa Melayu sebagai salah satu mata pelajaran mereka.
Kata naib presiden Umno itu, langkah tersebut dibuat bagi memartabatkan bahasa Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kata Teo, Ismail Sabri seperti tidak membuat semakan lebih awal dengan Kementerian Pengajian Tinggi atau bertanya kepada menterinya, Noraini Ahmad, sebelum membuat pengumuman tersebut
“Komuniti akademik dan pelajar antarabangsa rata-rata juga terpinga-pinga mengapa perdana menteri menuntut sesuatu yang sudah pun wujud dalam mata pelajaran pengajian tinggi,” katanya.
Malah kata ahli parlimen Kulai itu lagi, seorang ahli akademik Universiti Nottingham Malaysia, Zaharom Nain, menganggap pengumuman Ismail Sabri sebagai berinspirasi politik.
Pada masa sama Teo menambah, ahli parlimen Bera itu wajar memberikan penjelasan lanjut mengenai dasar yang ingin dilaksanakan itu.
Misalnya kata Teo adakah Ismail Sabri mahu membuat perubahan dasar iaitu mewajibkan semua semua pelajar antarabangsa lulus dalam ujian Bahasa Melay, atau mahu mengkaji semula sukatan pelajarannya.
“Pada pendapat saya, program Mata Pelajaran Umum secara keseluruhannya sudah memadai bagi pelajar antarabangsa untuk mengetahui lebih lanjut tentang negara kita.
“Saya harap perdana menteri tidak berucap atas pentas parti semata-mata mahu mendapatkan sokongan ahli tetapi membuang masa dan mengelirukan rakyat tanpa usul periksa apa yang sudah dilaksanakan di peringkat kementerian,” katanya.