Kumpulan Houthi Yaman mengumumkan gencatan senjata selama tiga hari dan menangguhkan prospek gencatan senjata ‘kekal’ sekiranya pakatan diketuai Arab Saudi menamatkan operasinya terhadap negara bergolak itu.
Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas gelombang serangan dron dan peluru berpandu mengenai sasaran di seluruh Arab Saudi, termasuk kilang minyak berhampiran litar perlumbaan Formula Satu (F1) di Jeddah.
Semalam, sekurang-kurangnya tujuh orang dilaporkan terbunuh dalam serangan udara yang dilakukan oleh pakatan pimpinan Arab Saudi di Sanaa dan Hodeidah.
Houthi berkata, serangan oleh pakatan itu mengenai loji janakuasa, stesen bekalan bahan api dan pejabat insurans sosial yang dikendalikan kerajaan di ibu negara.
Kemudiannya, pemimpin politik Houthi, Mahdi al-Mashat mengumumkan penangguhan serangan peluru berpandu dan dron serta semua tindakan ketenteraan untuk tempoh tiga hari.
Gencatan senjata itu dibuat pada ulang tahun ketujuh campur tangan gabungan pimpinan Arab Saudi untuk menyokong kerajaan Yaman selepas Houthi yang disokong Iran merampas ibu kota Sanaa pada 2014.
Konflik itu mengorbankan puluhan ribu orang, kebanyakannya orang awam dan menyebabkan jutaan orang menghadapi masalah kebuluran dan penyakit.
Semalam, pakatan itu juga memberi tempoh tiga jam kepada Houthi untuk menarik balik senjata dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa dan dari dua pelabuhan di Laut Merah, lapor TV Al-Arabiya milik Arab Saudi, tanpa menyatakan tarikh akhirnya.
Ketegangan itu berlaku ketika Majlis Kerjasama Teluk (GCC) merancang untuk menjadi tuan rumah bagi pihak yang bertelagah untuk rundingan akhir bulan ini.
Houthi menolak ibu kota Arab Saudi, Riyadh – di mana ibu pejabat GCC berada – sebagai lokasi untuk perbincangan, mengatakan mereka tidak akan menjalankan rundingan di ‘negara musuh’. – Agensi