NEW YORK: Beratus-ratus orang Muslim Amerika Syarikat berkumpul buat julung-julung kali untuk menunaikan solat Tarawih di lokasi terbuka di Times Square pada hari pertama Ramadan, semalam yang disambut umat Islam seluruh dunia.
Ia berjaya dianjurkan selepas diiklankan melalui media sosial sebagai ‘solat Tarawih yang pertama kali diadakan di Times Square’.
Terdahulu, beberapa pengguna media sosial melahirkan kebimbangan bahawa persekitaran yang sibuk dan menjadi tumpuan pelancong seluruh dunia itu tidak sesuai untuk diadakan tarawih.
Seorang pengguna Twitter yang mengulas berkata: “Terdapat papan iklan di mana-mana, bunyi-bunyian muzik adalah perkara biasa di sana (Times Square, New York). Pasti ada tempat yang lebih baik untuk tarawih… pergi ke masjid tempatan lebih baik!”
Pengguna media sosial yang lain pula bimbang tentang keselamatan umat Islam yang berkumpul untuk mengadakan solat tarawih di situ, susulan serangan Islamofobia di AS yang semakin serius sejak akhir-akhir ini.
Mengulas tentang perkara itu, penganjur bersama tarawih di Times Square, New York, Ali Camara berkata, “Kami (umat Islam di Amerika Syarikat) bekerja dengan orang-orang ini (warga New York). Anda menaiki kereta api dengan orang-orang ini. Kami semua benar-benar satu.”
Sementara, lebih 1,000 umat Islam berbuka puasa Ramadan pertama mereka tahun ini di New York City semalam di laluan jalan raya yang sibuk di Times Square itu.
Kira-kira 1,500 hidangan telah diagihkan untuk Iftar pertama bulan itu kepada umat Islam yang telah mengembara dari sejauh Montreal, Kanada untuk menghadiri majlis tersebut.
Petikan al-Quran dibacakan dan penganjur membuat ucapan tentang erti perayaan pada bulan Islam yang mulia.
“Kami di sini untuk menerangkan agama kami kepada semua orang yang tidak tahu apa itu Islam. Islam adalah agama keamanan,” ujar penganjur acara berkenaan. – CBS