Zionis sehingga kini tidak mengulas serangan khusus yang dilakukan, sebaliknya mengaku melancarkan ratusan serangan udara terhadap kumpulan yang menyokong Iran dan bertapak di negara tersebut.
Serangan udara terbaharu di Syria, yang dikaitkan dengan rejim Zionis berlaku Sabtu lalu dan serangan berkenaan berlaku di siang hari.
Penduduk tempatan berkata, letupan berkenaan dilihat berlaku berhampiran bandar Masyaf, wilayah Hama.
Masyaf digunakan sebagai pangkalan tentera Iran dan beberapa kali menjadi sasaran rejim Israel sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Kawasan berkenaan turut menempatkan kemudahan Pusat Kajian dan Penyelidikan Saintifik atau dikenali CERS yang menjadi sasaran Zionis beberapa kali sebelum ini.
Barat telah lama mengaitkan CERS dengan pembuatan senjata kimia. Menurut Amerika Syarikat (AS), gas sarin dibangunkan di pusat berkenaan, bagaimanapun tuduhan itu dinafikan pihak berkuasa Syria.
Awal bulan lepas, tentera pengganas Israel melancarkan serangan udara di Damsyik dan mengorbankan dua pegawai di Iran Revolutionary Guard.
Sejak perang saudara berlaku di Syria 2011, Israel berterusan melakukan serangan udara di negara berkenaan dan menyasarkan tentera Iran dan kumpulan pengganas khususnya di sepanjang sempadan Golan. – Agensi