Kempen Buy Muslim First (BMF) 2.0 akan dilancarkan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) dalam masa terdekat untuk membina dan perkasakan semula ekonomi umat Islam di negara ini.
Pengerusi Pembela, Haji Aminuddin Yahaya berkata, tumpuan utama kempen itu adalah bagi melahirkan lebih ramai usahawan muslim berjaya sekali gus membangunkan platform atau ekosistem ekonomi Islam untuk generasi akan datang.
Bagaimanapun, katanya usaha murni berkenaan hanya mampu menjadi kenyataan melalui penglibatan komuniti, tokoh-tokoh agama termasuk institusi pendidikan seperti sekolah tahfiz.
“Misalnya di seluruh negara kita ada lebih daripada 2,000 pusat dan sekolah tahfiz dengan 200,000 orang pelajar.
“Kekuatan tersebut mampu menjana perniagaan sehingga RM1 bilion,” katanya selepas melancarkan Konvensyen Ulama dan Da’i Pembela Islam, hari ini.
Aminuddin dalam masa sama melihat Malakat Mall sebagai model perniagaan yang dapat membina ekonomi Islam khususnya sebagai ‘pusat’ kempen BMF.
“Misi kita adalah untuk membina semua sekali kekuatan dari segala segi bagi memastikan nasib generasi akan datang terjamin.
“Mungkin usaha ini akan ditertawakan sebagai satu ‘mimpi’ tapi kita kena ingat Rasulullah sendiri telah membuktikan kejayaan Islam berlandaskan imam, sistem yang tersusun dan jihad yang berterusan,” katanya.