Israel dijangka meluluskan rancangan untuk membina 4,000 rumah peneroka haram di Tebing Barat.
Lapor Al Jazeera, Menteri Dalam Negeri, Ayelet Shaked dalam ciapan mengesahkan jawatankuasa perancangan akan bermesyuarat minggu depan untuk meluluskan rancangan pembinaan rumah tersebut.
Shaked menyifatkan pembinaan penempatan haram di Tebing Barat sebagai perkara yang asas dan diperlukan.
Akhbar Haaretz melaporkan Pentadbiran Awam Israel akan bertemu pada Khamis untuk meluluskan rancangan pembinaan 1,452 buah rumah dan baki 2,536 unit lagi akan diluluskan oleh Menteri Pertahanan, Benny Gantz.
Penempatan Israel diperkukuhkan lagi dengan pembinaan atas tanah Palestin yang dilihat melanggar undang-undang antarabangsa.
Seramai 600,000 hingga 750,000 peneroka haram Yahudi menetap di hampir 250 penempatan haram di Tebing Barat dan Baitulmuqqadis Timur.
Sekiranya diluluskan, ia bakal menjadi rancangan penempatan haram paling besar sejak Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memegang jawatan tertinggi itu.